TABUNG Haji (TH) akan menyumbang 25 buah van penumpang ke rumah-rumah kebajikan terpilih di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak dengan peruntukan sebanyak RM2.5 juta melalui Program Mobiliti 2021.

Program Mobiliti TH telah dilancarkan pada tahun 2016 yang bertujuan menyumbang van dwi-fungsi yang boleh digunakan oleh masyarakat setempat sebagai van penumpang atau van jenazah.

Sejak diperkenalkan, TH telah menyumbang lebih 56 buah kenderaan pelbagai fungsi kepada masjid-masjid terpilih di seluruh negara yang telah memberi manfaat lebih daripada 200 ribu kariah, kata TH dalam satu kenyataan akhbar.

Pada tahun ini, TH memperluaskan penerima sumbangan ini ke rumah dan persatuan kebajikan di seluruh negara seperti rumah anak yatim, rumah orang tua dan rumah untuk Orang Kurang Upaya (OKU) bagi membantu memudahkan mereka bergerak untuk menjalankan aktiviti dan program mereka.

Selain itu, TH turut memperuntukan RM18.7 juta bagi melaksanakan program lain seperti Program Ehsan, Ikhtiar dan A’fiat.

Hari ini, TH telah menyerahkan sebuah van bagi kegunaan harian Pusat Jagaan Nur Murni, Batu Kawa, Kuching, Sarawak yang disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad.

BERITA BERKAITAN TH Travel terima 10,000 pertanyaan mengenai umrah, 1,400 sedia ke Mekah tahun ini

Idris telah menyerahkan replika kunci van tersebut kepada pengerusi pusat tersebut, Noraini Bakiri sempena lawatan kerja beliau ke Sarawak buat julung julung kali.

Dalam ucapannya, Idris berkata, beliau amat bersyukur dengan program-program zakat TH yang amat bertepatan dengan konsep Keluarga Malaysia yang menekankan pemeliharaan kesejahteraan negara dan rakyat.

“Ia mencakupi nilai murni dalam institusi kekeluargaan seperti kasih sayang, toleransi, empati serta pengorbanan, lebih-lebih lagi dalam situasi sukar di mana negara masih bergelut dengan impak penularan pandemik COVID-19,” katanya.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Datin Nurlaila Said, Pengarah TH Wilayah Sabah & Sarawak, Ahli Jawatankuasa Pusat Jagaan Nur Murni dan anggota-anggota TH. – UtusanTV

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram