BERITA pemergian penerbit dan pengarah terkenal tanah air, Mohamad Mohamad Khalid atau lebih dikenali sebagai Mamat Khalid kira-kira pukul 12:30 malam tadi di Hospital Slim River, Perak telah mengejutkan seluruh rakyat Malaysia.

Khabar duka tersebut disahkan oleh Setiausaha Agung persatuan Seniman, Hafiz Nafiah yang memaklumkan Allahyarham telah dikejarkan ke hospital selepas pengsan di restoran miliknya di Tanjung Malim.

Pemergian arwah telah memberi impak besar kepada industri seni tanah air yang turut berduka.

Bahkan, rakan selebriti turut menzahirkan salam takziah serta mengimbau kenangan sepanjang bekerja dengan arwah.

Antaranya adalah pelakon dan pelawak Harith Iskander yang menyifatkan Allahyarham adalah ‘tentera sejati’ yang mempunyai nilai kreatif dalam industri perfileman.

“Seorang lagenda yang layak untuk menerima penghormatan,” ujar Harith menerusi ciapan di Twitter.

Tidak ketinggalan, Que Haidar yang pernah dimarahi ole Allahyarham menerusi filem Rock Oo: Rimba Bara Kembali kerana gagal menjiwai watak sehingga membuatkan dia menangis ketika penggambaran filem itu pada 2011.

Melalui ciapan Que Haidar, Mamat adalah pengarah terawal yang mengesan bakatnya.

“Antara pengarah terawal yang mengesan bakat saya. Bermula dengan satu komersial Putrajaya dan seterusnya ‘menghadiahkan’ saya watak Amy Mat Piah juga Deris. Al fatihah untuk abang,” luah Que.

Sementara itu, Sharifah Aleeya yang pernah terlibat dalam filem Man Laksa, mengakui bahawa arwah adalah orang yang bertanggungjawab memperkenalkan dia watak yang sangat berharga baginya.

“Dialah orang yang bertanggungjawab mencipta watak yang cukup mengesankan. Terima kasih kerana meminjamkan karakter Chah, Abang Mamat,” katanya di Twittter.

Arwah yang terkenal dengan hasil karya filem komedi seram seperti Zombi Kampung Pisang dan Hantu Kak Limah disahkan meninggal dunia pada usia 58 tahun.

Jenazah Arwahyarham akan disembahyangkan dan dijangka akan dikebumikan di Masjid Kampung Paloh, Ipoh, Perak selepas zohor.

Bagi menghormati privasi dan sensitiviti, keluarga Allahyarham meminta jasa baik pihak yang menziarahi tidak merakam video atau memuat naik gambar jenazah di mana-mana platform sosial media.