DATUK Hasbi Habibollah (dua dari kiri) menyampaikan bantuan kepada pekebun kecil getah di Sarawak, semalam.

PIHAK Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Sarawak telah pun memperuntukkan bantuan bernilai RM51.02 juta untuk disalurkan kepada 114,171 pekebun kecil getah di wilayah berkenaan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, peruntukan bantuan itu adalah untuk program kawasan bertanam getah, aktiviti ekonomi tambahan (AET), pembangunan produktiviti dan agromakanan.

“Program Tanam Semula Getah dilihat mendapat sambutan daripada pekebun kecil setelah bantuan tersebut ditingkatkan kepada RM14,805 sehektar berbanding tahun sebelumnya iaitu RM13,500 sehektar.

“Seluas 1,301 hektar telah berjaya ditanam semula yang memberi manfaat kepada seramai 1,504 orang pekebun kecil di negeri ini,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar II, Datuk Hasbi Habibollah dalam Majlis Penyampaian Bantuan RISDA dan Quickwin KEMAS sempena lawatan kerja tiga hari ke Sarawak, semalam.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ramlan Harun.

Tambah Mahdzir, seluas 6,163 hektar lagi tanah pekebun kecil yang melaksanakan program tanam semula pada tahun sebelumnya masih diteruskan bantuan pada tahun ini dengan 14 kawasan Tanam Semula Berkelompok (TSB) turut berjaya dibangunkan.

Baca artikel berkaitan: Teruskan usaha bantu masyarakat luar bandar – Mahdzir Khalid

Bagi keperluan prasarana pertanian, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) melalui RISDA telah menyediakan 75.1 kilometer jalan pertanian, 67 unit pembentung, 3.2 kilometer sistem perparitan dan dua buah jambatan untuk kemudahan operasi perladangan.

Kesemua bantuan Kawasan Bertanam Getah itu melibatkan peruntukan berjumlah lebih RM19 juta.

DATUK Hasbi Habibollah (dua dari kiri) menyampaikan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) kepada pekebun kecil getah di Sarawak, semalam.

Kata beliau, bantuan peningkatan produktiviti getah pula membabitkan kawasan seluas 513.59 hektar dengan peruntukan sebanyak RM300 ribu.

“Bagi tujuan mengimbangkan pendapatan bukan hanya dari sektor getah, RISDA menyediakan Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) di mana seramai 145 orang usahawan pekebun kecil telah menerima bantuan melibatkan peruntukan berjumlah RM1.48 juta dalam pelbagai sektor keusahawanan,” jelas Mahdzir.

Program Agromakanan pula yang baru diperkenalkan pada tahun ini menurut Mahdzir, membabitkan 46 peserta dalam kalangan pekebun kecil yang terlibat dalam program ternakan, tanaman jangka pendek dan jangka panjang.

“Sebagai sebuah kerajaan yang membawa aspirasi Keluarga Malaysia, KPLB turut meneruskan Bantuan Musim Tengkujuh tahun 2021 (BMT 2021) kepada 232,319 orang pekebun kecil RISDA dan 86,323 orang pekebun kecil Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) yang terjejas pendapatan ketika musim tengkujuh,” katanya.

Secara keseluruhannya, RISDA Sarawak menyalurkan RM29.46 juta bagi program BMT 2021 kepada 49,103 pekebun kecil.

Pekebun kecil akan menerima bantuan tersebut pada bulan November dan Disember ini melalui perbankan elektronik terus ke akaun penerima.

Pada majlis yang sama, Mahdzir turut menyampaikan Bantuan Bakul Prihatin kepada 100 orang penerima terdiri daripada pekebun kecil dengan peruntukan sebanyak RM5,000 di salurkan diseluruh Wilayah Sarawak.

Bantuan Program Tanggungjawab Sosial Korporat di bawah Yayasan RISDA itu bagi membantu penduduk luar bandar dan pekebun kecil yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram