Istana Negara, Kuala Lumpur. GAMBAR: Abd Razak Aid

OLEH: DATUK DR. HASAN MAD

Khamis, 21 Oktober 2021 saya menerima undangan menghadiri majlis pelancaran buku Siri Titah Sultan Nazrin di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Turut terkandung dalam acara majlis itu ialah titah baginda sempena pelancaran buku tersebut.

Saya menulis rencana ini bagi mengaitkan majlis itu dan buku yang dilancarkan, dengan perubahan budaya dalam kalangan bangsa Melayu dalam menilai titah raja.

Dulu-dulu kala, titah raja itu adalah perintah. Bila raja bertitah, Dato’ Bendahara dan semua pembesar negeri akan segera bertindak terhadap titah itu. Rakyat jelata pula akan berhenti sejenak menjalankan rutin harian masing-masing bagi mendengar titah itu, menunggu apa yang perlu mereka lakukan, atau apakah manfaat yang akan turun kepada mereka.

Itu dulu. Kini, penerimaannya jauh berbeza.

Sambil duduk mendengar titah baginda, dalam suasana sedemikian rupa, terasa hibanya. baginda terpaksa memperjelaskan akan kedudukannya sebagai pemerintah, bukan pentadbir, maka baginda tidaklah boleh mencampuri urusan legislatif, eksekutif mahupun judisiari. Selayaknya sebagai pemerintah, baginda bertitah kepada pentadbiran kerajaan baginda dan rakyat jelata, dengan harapan titahnya itu segera diambil tindakan. Ini kerana baginda bertanggapan bahawa titahnya itu adalah perintah.

Sayugia kita semua maklum, bukan mudah untuk seorang raja itu bertitah. Baginda lazimnya bertitah susulan berlakunya sesuatu kejadian, atau menghadiri sesuatu upacara yang mewajarkan baginda mencemar duli, serta menyampaikan titah. Baginda bersama sebuah badan khas akan sediakan titah itu, ditapis dan disaring berkali-kali bagi memastikan kandungannya konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan serta lain-lain rujukan. Malah yang lebih penting agar titah itu kelak tidak dipersoalkan atau diragui oleh mana-mana pihak terutama jentera pentadbiran baginda dan rakyat jelata. Hatta, setiap titah itu mempunyai nilai, mesej dan kekuatan tersendiri.

Saya menggambarkan pasti keesokan harinya kebanyakan (jika tidak pun semua) media arus perdana dan tabloid akan memuatkan berita di muka depan mengenai majlis yang amat bermakna ini. Sesungguhnya saya terkilan. Malah ada diantara media arus perdana bahasa Melayu yang langsung tidak memuatkan berita mengenai majlis ini, sekalipun sekadar berita bergambar, hinggalah keesokan harinya, Sabtu 22 Oktober 2021. Bertanyalah saya kepada diri sendiri, adakah ini nilai pekerti bangsa ku di alaf ini? Adakah bangsa ku sudah tidak lagi mengenali yang mana permata dan yang mana kaca? Apalah nilainya berita jika mereka yang bersengketa berebut dan tamak kuasa lebih bernilai sebagai berita utama, berbanding titah yang mendorong tindakan yang membina.

Realitinya, itulah nilai dan budaya kita di kala ini.

Lantas saya menelefon tiga sahabat seperjuangan, Prof. Datuk Dr. Zainal Kling, Datuk Zainal Abidin Borhan dan Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, mohon pandangan dan pengesahan dari mereka akan hubungan dan waad di antara raja dan rakyat, dulu dan sekarang.

Baca artikel berkaitan: Gubal dasar baharu, bumiputera dah letih mengadu!

Ingatan dan kefahaman kami berempat mengenainya adalah sama. Dulu-dulu kala, raja dan rakyat kerap berwaad dan berjanji sesama mereka. Daripadanya terbentuk ikatan kerjasama di antara keduanya.

Pada hemat saya, kesediaan baginda mencemar duli hadir ke majlis ini untuk sekali lagi bersama pemimpin dan rakyat, berbicara beberapa isu kepentingan negara, pastinya akan disambut segera dan disusuli tindakan pantas, terutama dalam kalangan pemimpin yang hadir. Rupa-rupanya ia sekadar andaian saya saja.

Maka saya buat perbandingan dulu dan sekarang. Waad dan akujanji berikut ini saya muatkan di sini bagi menggambarkan hubungan di antara raja dengan pentadbir (yang mewakili rakyat) dulu-dulu kala. Ini adalah di antara waad yang lazim dirujuk:

Titah Baginda Seri Teri Buana kepada Demang Lebar Daun, “Barang siapa hamba Melayu mengubahkan perjanjiannya, dibalikkan Allah bumbungan rumahnya ke bawah kaki ke atas”.

Maka sembah Demang Lebar Daun, “Jikalau raja Melayu itu mengubahkan perjanjian dengan hamba Melayu, dibinasakan Allah subhanahuwa taala pada segala raja-raja Melayu, tiada pernah memberi aib kepada segala hamba Melayu, jikalau sebagaimana sekalipun besar dosanya, tiada diikat dan tiada digantung, difadhilatkan dengan kata-kata yang keji sampai pada hukum mati, dibunuhnya. Jikalau ada seorang raja-raja Melayu itu memberi aib seseorang hamba Melayu, alamat negerinya akan binasa”.

Semasa menghadiri solat Jumaat keesokan harinya, disampaikan khutbah dengan tema “Maulidur Rasul SAW”. Diperingatkan di dalam khutbah itu bahawasanya sambutan Maulidur Rasul adalah juga hari menghayati sirah Baginda SAW, bermula dengan kehidupannya, pahit getir dakwah Baginda dan mengenai kepimpinannya sehinggalah Baginda wafat.

Turut diperingatkan betapa setiap kita para pengikut Baginda SAW wajib mematuhi titah Baginda kerana ia adalah perintah dari Allah SWT, seperti mana firman Allah SWT dalam surah al-Hasyr, ayat 7, “Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah SAW kepada kamu terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangnya kamu melakukannya maka patuhlah larangannya”.

Kita semua sedia maklum akan nilainya sesuatu khutbah Jumaat itu. Pentingnya sesuatu khutbah itu hanya untuk dihadam ketika kita semua berada di dalam rumah Allah itu. Sebaik saja melangkah keluar, khutbah itu sekadar manuskrip yang dibaca khatib sebagai rutin solat Jumaat. Itulah nilainya, termasuk khutbah yang dinyatakan di atas itu.

Andai kata kekal beginilah adatnya, titah raja akan senasib dengan khutbah Jumaat. Koleksi Titah Baginda termasuk titahnya di majlis itu akan berlalu tanpa bersambut dengan tindakan susulan oleh pemimpin, termasuk dalam kalangan mereka yang hadir.

Ya, kita semua sebak dada melihat banyak ingkaran berlaku saban hari. Realitinya, usahkah titah Baginda, begitu banyak perintah Allah SWT yang jauh lebih berat akan tanggungjawab terhadapnya lagikan diingkari.

Berbalik semula ke majlis berkenaan. Telah pun dicuit semasa sesi Sidang Panel, mengharapkan akan ada dapam kalangan pemimpin yang hadir menyambut cuitan itu dengan akujanji akan bertindak sebaik mungkin terdadapnya. Kami hampa, kerana dalam kalangan pemimpin yang disasarkan ternyata tidak berselera dengan cuitan itu. Jelas sekali, mereka yang dimaksudkan bukanlah dalam kalangan pembesar setanding Demang Lebar Daun. Jelas sekali mereka ini hadir sekadar mendengar “khutbah”.

Jika beginiliah nilai, budaya, budi dan pekerti bangsa ku di alaf ini, masakan ia mampu menjadi bangsa yang Bermaruah, Hebat dan Diberkati. Titah raja akan senasib khutbah Jumaat. Wallahu ‘alam.

Penulis merupakan Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram