PADA malam 20 Disember 1980, Jean Hilliard, gadis remaja berusia 19 tahun sedang dalam perjalanan pulang ke rumah orang tuanya di Lengby, Minnesota, Amerika Syarikat, selepas menemui rakannya.

Gadis itu berhati-hati memandu memandangkan keadaan jalan pada ketika itu agak licin lantaran diliputi salji tebal.

Mulanya, semua baik-baik sahaja. Tetapi ketika sampai di sebuah laluan jalan berais, kenderaan yang dipandu Jean tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam parit. Akibat kemalangan itu, keretanya rosak teruk. Mujur Jean tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

Malam itu, suhu sangat sejuk dan berangin, mencecah -22 darjah Celsius. Dalam keadaan cuaca begitu, apa saja boleh terjadi sama ada mati kesejukan dan terkena hipotermia.

Jean tidak mahu terus menunggu di dalam kereta yang sudah rosak. Dia kemudian bertindak keluar dari keretanya dan mula berjalan kaki untuk mendapatkan bantuan.

Tanpa mempedulikan cuaca sejuk, Jean terus berjalan ke rumah rakannya, Wally Nelson, yang tinggal berdekatan. Beberapa minit berjalan, dia merasakan langkah kakinya semakin berat dan jarak yang dilalui juga terasa jauh. Walaupun begitu, dia tetap menggagahkan diri untuk terus melangkah.

Sekitar pukul 1.00 pagi, Jean masih lagi berjalan meredah kegelapan malam dalam cuaca dingin. Selepas lebih tiga kilometer menempuh laluan bersalji, gadis ini semakin menghampiri tempat yang dituju. Namun, dia rebah sebaik sahaja melihat jalan masuk ke rumah rakannya.

Menurut Jean, dia berasa lega apabila melihat rumah kawannya. Malang sekali, saat melangkah menghampiri tempat itu, seluruh badannya terasa begitu berat dan semakin tidak bermaya. Dia kemudian tidak ingat apa yang berlaku selepas itu.

Secara fisiologi, Jean mengalami keletihan dan penghidratan yakni kehilangan air dalam badan. Faktor tersebut menyebabkan gadis berkenaan tidak dapat bergerak dan akhirnya jatuh pengsan.

Selama enam jam Jean terbaring tidak sedarkan diri di atas jalan yang diliputi salji. Sepanjang detik itu juga tiada seorang pun menyedari apa yang berlaku ke atas dirinya. Sampailah pada pukul 7.00 pagi, apabila rakannya Wally keluar rumah, dia ternampak Jean terbaring kaku di atas jalan.

Dia kemudian berlari ke arah Jean dan memeriksa keadaan rakannya itu tapi terkejut apabila mendapati badan Jean sudah membeku. Segala-galanya kaku dan mengeras. Mata jean terbuntang tanpa tindak balas. Seluruh tubuhnya pucat serupa mayat.

Wally kemudian mengangkat Jean masuk ke dalam kereta dan membawanya ke Hospital Perbandaran Fosston.

Keadaan Jean ketika dtemui. Badannya sudah mengeras dan matanya terbuntang tidak berkelip.

Di hospital, Dr. George Sather yang memeriksa Jean tidak yakin apakah remaja perempuan itu boleh diselamatkan atau tidak. Mana tidaknya, badan mangsa terlalu keras seperti sekeping daging yang baru sahaja keluar daripada peti beku, sehinggakan apa saja jenis jarum tidak dapat menembusi tubuhnya.

Daripada pemeriksaan menunjukkan, Jean bernafas dengan sangat perlahan iaitu hanya menghasilkan lapan degupan jantung dalam tempoh seminit.

Menurut Dr. Sather, Jean mungkin tidak dapat diselamatkan lagi. Tiada apa yang mampu dilakukan melainkan dengan hanya meletakkan beberapa pek hangat di sekeliling tubuhnya. Dengan harapan, alat itu boleh memanaskan sekali gus meningkatkan suhu badan gadis tersebut.

Menakjubkan, sekitar jam 1.00 tengah hari, kedengaran suara Jean sayup-sayup meminta segelas air. Dia kembali sedar selepas ibunya memegang lengan dan memanggil namanya.

Tetapi, dua jam kemudian, Jean tiba-tiba mengalami kekejangan. Secara perubatan, ia satu petanda baik, tetapi bahaya masih lagi belum berakhir. Apa yang dikhuatiri ialah walaupun Jean telah kembali sedar, dia mungkin mengalami kerosakan otak yang serius. Kakinya juga mungkin akan dipotong kerana mengalami frostbite yang parah.

Jean sewaktu menceritakan pengalamannya kepada wartawan menganggap apa yang berlaku kepadanya adalah satu keajaiban.

Jean bagaimanapun bernasib baik kerana tidak mengalami komplikasi tersebut.

Malah, keajaiban demi keajaiban berlaku pada gadis itu di mana dia sudah dapat menggerakkan tangannya hanya sehari selepas sedar.

Tiga hari berikutnya, dia sudah mampu menggerakkan kaki.

Jean dimasukkan ke ICU selama enam hari sebelum dipindahkan ke wad biasa. 49 hari kemudian, remaja berkenaan dibenarkan pulang dan kembali meneruskan hidup seperti biasa.

Doktor begitu kagum dengan kejadian ini dan menganggapnya sebagai sesuatu yang jarang berlaku dalam perubatan.

___________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam