Sebahagian daripada persembahan kebudayaan Malaysia ketika pelancaran Keluarga Malaysia di Kuching, baru-baru ini. GAMBAR: Jabatan Penerangan

DASAR Kebudayaan Negara 2021 (DAKEN 2021) disifatkan sebagai sebuah dokumen holistik yang bakal dijadikan panduan dan rujukan dalam merencana segenap pembangunan seni, budaya dan warisan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, inisiatif tersebut seiring dalam menjadikan sektor itu sebagai pemangkin sosio-ekonomi Keluarga Malaysia.

Kata beliau, DAKEN 2021 mempunyai tujuh teras bagi melaksanakan strategi dan pelan tindakan.

Perdana Menteri memaklumkan, tujuh teras tersebut merangkumi budaya nilai tinggi; keharmonian masyarakat; pemeliharaan dan pemuliharaan warisan budaya serta pembangunan dan pengembangan budaya.

Jelas Ismail Sabri, ia turut merangkumi pemerkasaan budaya; penjanaan ekonomi kebudayaan dan kecemerlangan budaya.

“Pada setiap teras itu, tersulam pembangunan modal insan secara konsisten.

“Selain pendidikan seni, budaya dan warisan secara formal, dasar ini turut menerapkan pendidikan tidak formal sebagai usaha melahirkan pelapis kepada penggiat seni, budaya dan warisan yang sedia ada,” katanya.

Baca artikel berkaitan: Gabungan Al-Quran, teknologi seiring prinsip Islam – PM

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Pelancaran DAKEN 2021 secara maya, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, DAKEN 2021 menggariskan hala tuju Malaysia sebagai ‘Negara Maju Rakyat Berbudaya’.

Katanya, ia digubal berlandaskan lima prinsip yang terdapat dalam Keluarga Malaysia iaitu keterangkuman, kebersamaan, semangat kebanggaan, keterbukaan dan menyeluruh.

Perdana Menteri turut berkeyakinan tinggi terhadap keupayaan DAKEN 2021 sebagai usaha menjulang dan memartabatkan seni, budaya dan warisan negara.

“Justeru, saya menyeru kepada seluruh Keluarga Malaysia agar mendukung dasar ini supaya aspek seni, budaya dan warisan negara terus terpelihara.

“Kerajaan menerusi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya juga akan terus mempelbagaikan ikhtiar demi meningkatkan daya saing, visibiliti dan imej seni, budaya serta warisan negara sebagai teras kepada pembangunan yang seimbang ibarat kata pepatah Melayu, sekati sama berat, diuji sama merah,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram