KISAH ini diceritakan oleh seorang rakan yang bekerja dalam industri media. Namanya Amar. Menurut Amar, suatu ketika dahulu, ketika itu pukul 12.00 malam, dia menunggang motosikalnya selepas selesai tugasan majlis malam media di Klang, Selangor. Dia perlu pulang segera ke rumahnya di Kuala Lumpur.

Tidak banyak kenderaan yang lalu-lalang dinihari itu, sehinggalah dia sampai di bawah jejantas berhampiran SIRIM, Shah Alam, Selangor. Di situ Amar lihat ada seorang gadis sedang berdiri di tepi jalan. Pelik, berani betul gadis itu bersendirian di dalam gelap pada waktu begitu.

Amar memberhentikan motosikal dan mempelawa gadis tersebut untuk menghantarnya pulang. Namun sapaan dan pelawaan Amar langsung tidak berjawab. Gadis yang rambutnya melepasi bahu dan mengenakan baju serta skirt putih itu diam membatu.  

Hanya selepas beberapa minit menanti, barulah gadis itu bersuara. Kata si gadis, kalau benar Amar mahu membantu, dia harap dapat dihantar pulang ke rumahnya di sebuah taman perumahan di Klang.

Amar setuju. Dia berikan gadis itu topi keledar dan mereka bergerak menuju ke taman perumahan yang disebutkan tadi. Dalam perjalanan, gadis yang memperkenalkan dirinya sebagai Mizah itu memberitahu, dia berdiri di tepi jalan kerana ditinggalkan seorang kawan lelaki.

Pada mulanya Mizah menumpang kereta lelaki tersebut untuk pulang ke rumah selepas menghadiri majlis hari jadi. Bagaimanapun, di dalam perjalanan lelaki berkenaan mula berkelakuan tidak senonoh. Dia memberhentikan kereta di bawah jejantas tadi dan memaksa Mizah menyerahkan kehormatannya.

“Mujur saya dapat lepaskan diri. Saya buka pintu, keluar dan menjerit. Dia terus pecut kereta dan tinggalkan saya di situ,” cerita Mizah.

Akhirnya mereka sampai di rumah Mizah. Di halaman yang masih terang itu kelihatan dua orang anak kecil bermain-main. Kata Mizah, itu anaknya. Dia baru bercerai setahun lepas.  

Hendak dijadikan cerita, seminggu kemudian pada waktu siang Amar pergi ke rumah Mizah bersama seorang kawan. Niat Amar adalah untuk memperkenalkan kawannya itu kepada wanita berkenaan.

Namun, sampai di rumah Mizah, kedua-dua mereka terkejut. Manakan tidak, di hadapan mereka ialah sebuah rumah yang sudah lama terbiar. Tingkapnya rebeh, cermin pecah, dinding berkulat dan lalang tinggi meliar!

Ketika Amar dan sahabatnya tercangak-cangak, seorang jiran keluar selepas menyedari kedatangan mereka. Lantas Amar bertanya tentang Mizah.

“Mizah? Dia dan dua orang anak yang encik nampak tu sebenarnya dah meninggal dua tahun lalu,” jawab jiran berkenaan.

Alangkah terkejutnya Amar. Tambahan lagi apabila jiran itu memberitahu, selain Amar, sudah hampir 10 orang datang ke rumah berkenaan mencari Mizah.

Semua lelaki itu memberitahu mereka terserempak dengan Mizah di bawah jejantas berhampiran SIRIM, tempat dia ditinggalkan. Ya, tempat yang sama juga Amar menemui Mizah.

Apa yang telah berlaku sebenarnya?

Kata jiran tersebut, pada malam kejadian, Mizah berjaya pulang. Gadis itu bagaimanapun ditemui mati keesokannya bersama mayat kedua-dua orang anaknya, dipercayai dibunuh oleh lelaki yang cuba mencabulnya.

Kes kematian Mizah pernah dilaporkan di media-media tempatan, lebih 20 tahun lalu. Sejak itulah rumahnya terbiar kosong.

Bila Amar datang semula ke rumah Mizah pada waktu siang, dia terkejut mendapati rumah itu adalah rumah yang sudah lama terbiar – Gambar Hiasan.

KISAH kedua ini pula diceritakan oleh seorang lelaki berusia 50-an, bernama Maspa Dawi, semasa saya berkunjung ke Sarawak pada awal tahun 2000.

Maspa memberitahu, pada pukul 2.00 pagi awal tahun 1980-an, dia memandu kereta ke hospital umum Kuching, Sarawak untuk menghantar jirannya yang mahu bersalin.

Di tengah perjalanan, Maspa terpandang seorang gadis sedang berdiri di tepi jalan menghala ke Matang. Apabila disuluh lampu kereta, kelihatan gadis itu sedang membelakangkannya sambil memegang sekaki payung.

Gadis itu memakai kebaya pendek warna hijau muda. Rambutnya disanggul dan dihiasi bunga kecubung. Penampilannya persis gadis tahun 1940-an dan 1950-an.

Pulang dari hospital, Maspa terkejut kerana si gadis masih berdiri di tepi jalan tadi. Maspa memperlahankan keretanya dan memandang gadis tersebut. Wah! Cantik sungguh paras wajahnya. Mukanya disolek rapi.

“Sah… pelacur!” kata Maspa di dalam hati.

Seminggu kemudian semasa menghadiri majlis kenduri di rumah arwah sepupunya, Maspa menceritakan kisah tadi kepada seorang ustaz. Terkejut Maspa kerana ustaz tersebut rupa-rupanya pernah melihat gadis berkenaan. Malah dia turut menumpangkan gadis itu menaiki keretanya!

Cerita si ustaz, gadis cantik  berkebaya pendek itu duduk di kerusi belakang dan mahu menumpang hingga ke sekolah berhampiran. Di sepanjang perjalanan selama 15 minit, si gadis langsung tidak bercakap walau sepatah pun.

Yang menyeramkan, sampai saja di sekolah berkenaan, ustaz itu mendapati gadis berkenaan sudah pun ghaib. Kerusi belakang kosong.

Bagaimanapun, si gadis tidak pergi begitu saja. Esoknya si ustaz tersebut mendapati ada kuntuman-kuntuman bunga kecubung bertaburan di atas kerusi belakang keretanya!

Kisah misteri ini pernah disiarkan oleh majalah Mastika, suatu ketika dahulu.

Siapa gadis berkebaya hijau yang ghaib meninggalkan kuntuman bunga kecubung itu?

Persoalannya, `siapakah’ wanita yang ditumpangkan dalam dua kisah di atas?

Hantu? Jin? Syaitan? Makhluk ghaib?

Terserah pada anda untuk mentafsirkannya.

________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislamFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare