Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. GAMBAR: Abd Razak Aid

MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menegaskan tidak sama sekali mempertikaikan aduan daripada ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong berhubung gangguan seksual terhadap atlet.

Sebaliknya, Ahmad Faizal berkata, tindakan sedang diambil dengan mendengar sendiri lebih lanjut semua pihak mengenai apa yang berlaku sebelum membuat penjelasan.

Beliau malah mengatakan, jawapan yang diperkatakan dalam sidang akhbarnya semalam telah dipetik di luar konteks oleh beberapa media.

Pada masa sama, Ahmad Faizal turut bersetuju bawah isu melibatkan gangguan seksual perlu diberi perhatian serius dan tiada had masa untuk kes jenayah diadukan.

“Dalam sidang akhbar itu, saya mengatakan tindakan sedang diambil. Apa yang saya cuba lakukan adalah untuk mendengar semua pihak sebelum memberi penjelasan.

“Itu yang saya sebutkan dalam sidang akhbar dan saya pun telah muat naik dalam laman Facebook untuk semua pihak dengar sendiri apa yang telah saya katakan.

“Saya mesti pertahankan apa sahaja kejadian buruk yang telah berlaku kepada Pandelela dan mana-mana atlet yang terkesan akibat perkara ini kerana mereka telah mengharumkan nama negara,” katanya.

Baca artikel berkaitan: Pandelela dedah dibuli jurulatih gatal, suka buat lawak lucah

Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan Gobind Singh Deo (PH-Puchong) yang mempertikaikan kenyataannya dalam sidang akhbar semalam.

Semalam, media melaporkan Ahmad Faizal juga seakan ‘tertanya-tanya’ dengan tindakan Pandelela yang baru sekarang mendedahkan isu mengenai gangguan seksual.

Sebelum ini, Pandelela mendedahkan pengalaman buruknya berdepan dengan jurulatih yang sering membuat lawak lucah terhadap rakan atlet.

Ketika menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) mengenai pendiriannya dan kementerian berhubung isu tersebut serta penubuhan Jawatankuasa Tertinggi Kementerian, Ahmad Faizal menganggap isu melibatkan gangguan seksual adalah perkara yang perlu dilihat dengan serius.

“Saya amat bersetuju dengan Muar (Syed Saddiq) untuk meneriskan jawatankuasa tertinggi untuk memastikan perkara sebegini tidak berlaku lagi.

“Jika berlaku sekali pun, perlu diadakan siasatan menyeluruh dan memastikan atlet-atlet kita yang terbabit dalam sukan tidak terdedah kepada perkara yang begitu menjengkelkan ini,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram