dua amalan ubah takdir

Surah ar-Ra’ad ayat 11 yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan suatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.”

Ayat di atas dengan tegas menyatakan bahawa seseorang hamba itu mampu merubah nasib dengan usaha mereka sendiri dan juga keizinan dari Allah.

Oleh hal demikian, ulamak telah bersepakat memberikan dua cara utama untuk mengubah takdir dan ketentuan Allah, iaitu dengan memperbanyakan doa dan menyambung hubungan silaturrahim.

Antara perkara yang sentiasa dibincangkan tentang perubahan takdir ialah dari sudut perubahan umur manusia. Dalam hal ini, ulama berselisih pendapat tentang bolehkah umur itu berubah? Sama ada dipanjangkan atau dipendekkan?

Hal ini kerana terdapat kalam Allah yang menyebutnya secara jelas, iaitu dalam surah al-A’raf ayat 34 yang bermaksud

Tiap-tiap umat mempunyai batas waktu (kematian), maka apabila datang waktunya, mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak dapat (pula) melebihkannya.”

Namun begitu, Ketua Program Akidah dan Agama, Universiti Sains Islam Malaysia, Profesor Madya Dr. Kamaluddin Nurdin Marjuni menerangkan, ulama’ juga berpegang dengan hadis sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari yang menyatakan siapa saja yang ingin dimudahkan rezekinya, dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah dia menyambung silaturrahim.

Selain menghubungkan silaturrahim, doa juga adalah senjata ampuh yang paling berkesan untuk seseorang itu memohon dari Allah agar ditakdirkan dengan sebaiknya. Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda,

“Tidak ada yang mampu menolak takdir Allah kecuali doa.” – HR Imam Tarmizi.

Atas sebab itu, doa sangat digalakkan dan Allah telah menjanjikan akan menerima doa seseorang mukmin yang betul-betul mengharap diterima doanya sebagaimana firman Allah dalam surah al-Mukmin ayat 60,

“Dan Tuhanmu berfirman,”Berdoalah kepada-Ku akan Kuperkenankan bagimu…”

Dr. Kamaluddin juga berkongsi satu kisah menarik tentang perubahan takdir Allah, iaitu malaikat Izrail selaku malaikat pencabut nyawa telah datang kepada nabi Daud a.s dan memberitahunya minggu depan akan mencabut nyawa si Fulan.

Namun selepas seminggu, si Fulan tidak juga meninggal dunia. Kemudian, Nabi Daud a.s bertanya kepada malaikat,

“Kenapa tidak mencabut nyawa si Fulan, sedangkan janjinya minggu tersebut.

Menyambung Silaturrahim adalah salah satu dari asbab panjang umur

Izrail menjawab, “Ya! memang betul aku berjanji akan mencabut nyawanya, tetapi ketika sampai masa itu, Allah memberi perintah kepadaku untuk menangguhkannya dan membiarkan dia hidup lagi untuk 20 tahun mendatang.”

Lantas Nabi Daud bertanya, “Mengapa sedemikian?

Jawab Izrail, “Orang tersebut sangat aktif menyambung silaturrahim sesama saudaranya. Kerana itu Allah memberi pertambahan umurnya 20 tahun, meskipun takdir tercatat dia akan meninggal pada tarikh sedemikian.”

Kesimpulannya, semua peristiwa, kejadian dan keadaan yang telah, sedang dan akan kita hadapi semuanya dalam pengetahuan dan pengamatan serta kekuasaan Allah yang tidak terbelenggu dan tidak dibatasi oleh masa.

Meskipun takdir dan ketentuan itu berubah dan tidak berubah, tetapi segalanya tertakluk dalam  takdir Allah juga, dengan izin-Nya. Namun, sebagai manusia, haruslah kita menetapkan keyakinan dalam diri bahawa segalanya adalah telah diatur oleh-Nya.

Adapun langkah untuk mengubah takdir yang mua’allaq adalah dengan berusaha, berdoa dan tawakkal sahaja kepada Yang Maha Besar. Wallahu a’lam

__________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislamFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare