Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim. GAMBAR: Abd Razak Aid

WANITA UMNO menggesa kerajaan memperkasa pembangunan wanita dalam pembentangan Bajet 2022, Jumaat ini dalam usaha memulihkan kemajuan negara.

Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim berkata, peningkatan tenaga kerja wanita dilihat amat signifikan kerana mampu meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 0.4 peratus setiap tahun.

Kata beliau, ia juga sejajar dengan konsep Keluarga Malaysia dibawa Perdana Menteri apatah lagi teras kebahagiaan sebuah keluarga ditunjang golongan wanita.

Sehubungan itu, Norshida memaklumkan, Wanita UMNO mencadangkan supaya kerajaan melihat semula cadangan penubuhan pusat transformasi usahawan wanita di setiap negeri.

Menurutnya, pusat transformasi yang menggunakan model holistik ‘Pasarnita’ itu menawarkan ruang niaga dan melebarkan jaringan perniagaan serta khidmat nasihat keusahawanan di samping mempamerkan produk dan jenama.

“Kerajaan juga perlu menggerakkan usaha menyokong secara serius dan bersepadu menggalakkan wanita menjana pendapatan kedua dengan memudahkan syarat pinjaman mikrokredit kepada golongan usahawan menjalankan perniagaan separuh masa.

“Selain itu, kami juga berharap kerajaan dapat menyemarakkan latihan vokasional kepada golongan wanita dan ibu tunggal dengan mewujudkan kerjasama universiti, politeknik dan Institut Kemahiran Mara (IKM),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Bajet 2022 terus perkasa sistem kesihatan negara – PM

Mengulas lanjut, Norshida berkata, Wanita UMNO turut berharap kerajaan Keluarga Malaysia di bawah pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob boleh menjamin sekurang-kurangnya 30 peratus keanggotaan Dewan Negara disandang golongan wanita melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, kerajaan juga perlu serius memperluas penglibatan dan peluang wanita sebagai pembuat keputusan kepada sekurang-kurangnya 30 peratus dalam semua sektor.

“Inisiatif-inisiatif dalam membuka ruang yang lebih fleksibel kepada wanita perlu dipelbagaikan supaya sumbangan dapat disalurkan kepada golongan memerlukan di peringkat bawah.

“Kerajaan juga perlu memberikan ruang lebih holistik kepada wanita dalam sektor pekerjaan supaya sumbangan mereka dapat disalurkan dalam pembangunan negara,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram