SEBAGAI seorang anak seni, pelakon Amar Baharin sedar sokongan peminat antara faktor utama dia mampu bertahan sehingga ke tahap kini.

Namun demikian, dia juga akui ada segelintir pihak yang tidak menggemari hasil kerja seninya.

Hakikatnya, Amar,36, tidak pernah menghiraukan kata-kata yang dilontarkan netizen terhadap apa yang dilakukan.

“Netizen akan sentiasa mencari salah kita untuk dijadikan bahan kecaman.

“Sejujurnya, saya tak pernah ikut apa pendapat netizen kerana saya berpegang pada prinsip iaitu hanya berurusan dengan orang yang kita kerja bersama.

“Kalau kita asyik dengar cakap netizen, sampai bila-bila tak akan habis. Adalah menjadi perkara biasa bila ada yang sokong dan ada yang kecam dengan niat nak menjatuhkan kita.

“Jadinya, kita nak duduk di pihak mana? Boleh jadi gila sebenarnya kalau terlalu nak mendengar cakap orang,” katanya kepada URTV.

Amar berkata demikian pada sidang media drama Hati Yang Dikhianati yang diadakan secara maya, baru-baru ini.

Sementara itu, bapa kepada dua cahaya mata itu turut memberi pendapat tentang kontroversi video lawak lucah yang tular melibatkan pelakon Fauzi Nawawi.

Kata Amar, disebabkan tindakan Fauzi itu, netizen mula memboikot dan melemparkan kecaman yang teruk terhadap aktor itu.

“Saya pun tidak tahu kerana saya tidak melihat video tersebut sehingga habis.

“Dia (Fauzi Nawawi) bercerita tentang pengalamannya dalam lakonan apabila ditanya oleh pengacara. Benda itu pun sudah berlaku, dia hanya berkongsi sahaja.

“Mungkin netizen tidak boleh terima dengan cara dia bercerita sebab mereka berpendapat perkongsian itu terlalu terbuka sangat,” ulasnya.

Sementara itu, Amar turut berharap netizen tidak terus meletakkan hukuman hanya kerana satu kesalahan yang dilakukan.

“Dia dah pun memohon maaf secara tebuka. Tak sepatutnya dia terus di boikot.

“Malah, tindakan itu (memohon maaf) juga salah satu cara mengakui kesilapan diri sekaligus menghentikan kontroversi tersebut,” tegasnya.

Dalam perkembangan lain, Amar kini kembali bekerja selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dimansuhkan kerajaan.

Drama Hati Yang Dikhianati turut dibintangi Isyariana, Mona Ellen, Zamarul Hisham dan Mia Nasir.

Drama itu sudah mula ditayangkan 22 Oktober lalu, setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 6 petang di Astro Prima.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram