Tuan Ibrahim Tuan Man

NASIB kerjasama politik antara UMNO-Pas yang dibentuk melalui Muafakat Nasional (MN) akan ditentukan oleh mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, esok.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, mesyuarat MKT UMNO itu juga akan akan menentukan jumlah kerusi ditandingi parti berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bulan depan.

“Pas bersedia dengan sebarang kemungkinan dalam PRN Melaka, sama ada akan kekal kerjasama politik dalam MN, atau UMNO membuat keputusan untuk bertanding bersendirian sebagaimana yang dinyatakan oleh Presiden UMNO (Ahmad Zahid Hamidi).

“Apapun keputusan MKT UMNO pada Khamis ini akan menentukan segalanya seperti jumlah kerusi yang akan ditandingi oleh Pas, bentuk muafakat politik dan penyusunan jentera pilihanraya,” katanya di Facebook hari ini.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim menegaskan akan kepentingan ketiga-tiga parti termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mendokong kerajaan Persekutuan sekarang dikekalkan dalam menghadapi PRN Melaka.

“Pas tegaskan bahawa perlunya ketiga-tiga parti yang mendokong kerajaan Persekutuan sekarang dikekalkan dalam menghadapi PRN Melaka.

“Sebarang berita perpecahan tentunya akan menjadi berita gembira bagi PH (Pakatan Harapan).

“Namun Pas bersedia dengan sebarang kemungkinan,” tambahnya.

Khamis lalu, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, UMNO kekal dengan keputusan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu dalam mana-mana pilihan raya,berikutan keputusan perwakilan parti itu pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) tahun lalu.

Pas pula yang menyertai Perikatan Nasional (PN) dan bekerjasama dengan UMNO menerusi MN memberi jaminan parti itu tidak akan meletakkan calon di kerusi yang bakal ditandingi UMNO dan Bersatu pada PRN Melaka.

Tuan Ibrahim sebelum ini dilaporkan sebagai berkata, keputusan itu dicapai dalam usaha Pas mengelak pertandingan tiga penjuru, sekali gus mengukuhkan kerjasama dan muafakat ummah antara ketiga-tiga parti.

Namun menurut Tuan Ibrahim, parti itu mungkin bertanding di lima kerusi DUN Melaka tanpa mendedahkan kawasan berkenaan.