Dr Radzi Jidin membuat lawatan mengejut ke sebuah sekolah di Setapak, Kuala Lumpur selepas mendapat maklumat berhubung dakwaan berlaku amalan pemeriksaan haid secara fizikal dalam kalangan murid perempuan.

MENTERI Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin membuat lawatan mengejut ke sebuah sekolah di Setapak, Kuala Lumpur malam tadi selepas mendapat maklumat berhubung dakwaan berlaku amalan pemeriksaan haid secara fizikal dalam kalangan murid perempuan.

Lawatan mengejut beliau itu turut disertai Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, (KPM) Datuk Yusran Shah Mohd. Yusof dan Ketua Pengarah Pendidikan, Datin Seri Nor Zamani Abdol Hamid.

Menurutnya, KPM komited untuk memastikan amalan pemeriksaan haid tidak terus berlaku di mana-mana institusi kementerian.

“Saya memandang serius dakwaan berhubung perkara tersebut. Sekiranya ada amalan sebegini di mana-mana institusi KPM, kami komited untuk memastikan ianya tidak terus berlaku.

“Kedatangan saya pada malam ini adalah untuk mendengar dan mendapatkan maklum balas secara terus daripada murid di sekolah berkenaan,” katanya di Facebook, hari ini.

Mengulas lanjut, Radzi berkata, KPM juga mendengar penjelasan daripada pengetua dan guru sekolah.

“Kami akan perhalusi perkara-perkara yang dimaklumkan semasa perjumpaan itu.

“KPM sentiasa komited untuk menyediakan persekitaran yang selamat dan selesa di sekolah dan asrama. Ini bagi mewujudkan sekolah yang sejahtera untuk semua,” katanya.