tok mat

“KALAU kita letak ukuran 10, sembilan tidak mahu UMNO bersama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).”

Demikian kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang memberitahu sebahagian besar ahli akar umbi parti berkenaan tidak mahu UMNO menjalinkan kerjasama dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, bulan depan.

Namun begitu, kata Mohamad, UMNO akan meneliti dan mengambil pandangan serta maklum balas semua pihak.

Menurut Mohamad atau Tok Mat, isu kerjasama dengan parti lain dalam PRN Melaka akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, malam esok.

Kata beliau, mesyuarat juga akan membentangkan persiapan parti untuk menghadapi PRN Melaka.

“Itu pandangan secara umum. Kita akan teliti, kita akan buat pengiraan untung ruginya, kalau bersama macam mana, kalau tak bersama macam mana, itu semua diambil kira,” katanya seperti dilapor BH Online.

Dalam pada itu, Mohamad memaklumkan, kerjasama dalam Muafakat Nasional (MN) pula dilihat lebih banyak bergantung kepada Pas.

Baca artikel berkaitan: Kerjasama politik UMNO-Pas ditentukan esok

“Kita sentiasa menghulurkan tangan tetapi Pas kena buat keputusan sama ada mahu bersama Perikatan Nasional (PN) atau dengan MN.

“Kita minta Pas buat keputusan, jangan pula UMNO dilihat sebagai yang tidak mahu. Sebenarnya kita sudah katakan terpulang kepada Pas, kita sentiasa menghulurkan tangan.

“Malah pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) baru-baru ini pun kita sudah menyatakan tidak akan mengadakan kerjasama dengan Bersatu tetapi kita mahu terus mengukuhkan MN. Jadi, itu terpulang kepada mereka (Pas),” jelas beliau.

Khamis lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, UMNO kekal dengan keputusan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu dalam mana-mana pilihan raya,berikutan keputusan perwakilan parti itu pada PAU 2020, baru-baru ini.

Pas pula yang menyertai Perikatan Nasional (PN) dan bekerjasama dengan UMNO menerusi MN memberi jaminan parti itu tidak akan meletakkan calon di kerusi yang bakal ditandingi UMNO dan Bersatu pada PRN Melaka.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram