MAHKAMAH Sesyen Shah Alam hari ini melepas dan membebaskan tiga pengamal undang-undang termasuk seorang bekas hakim atas pertuduhan menerima rasuah wang tunai RM17,500, dua tahun lepas.

Hakim Rihaida Rafie membebaskan Azmil Muntapha Abas, 47, bekas hakim Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu; Khairul Azhwa Yusri Mohamad, 34, bekas Timbalan Pendakwa Raya (TPR) di mahkamah sama dan seorang peguam Noor Amirul Nazreen Anas, 33, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie ke atas ketiga-tiga tertuduh di akhir kes pendakwaan.

Rihaida berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen utama pertuduhan iaitu kesemua tertuduh bersetuju menerima suapan bagi diri mereka wang tunai RM17,500 daripada Wong Chiew Hoong pada tarikh, masa dan tempat yang dinyatakan dalam pertuduhan.

“Mahkamah mendapati tiada sebarang perbincangan atau komunikasi antara tertuduh pertama, kedua atau ketiga (berhubung rasuah) malah pada peringkat akhir kes, saksi-saksi tidak dapat menyatakan wang tersebut dipersetujui sebagai upah untuk tertuduh ketiga (Azmil Muntapha) menjatuhkan hukuman denda (dalam kes pendatang asing),” katanya.

Beliau berkata tiada keterangan yang dikemukakan menunjukkan Khairul Azhwa Yusri dan Azmil Muntapha mengetahui kewujudan wang tersebut.

Baca artikel berkaitan: Anak Mat Sabu bebas, sabitan cacat sebab hanya satu botol sampel air kencing

Menurut hakim itu, pendakwaan juga gagal membuktikan Azmil Muntapha menerima suapan sebagai upah baginya selaku Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu ketika itu untuk menjatuhkan hukuman denda sahaja kepada tujuh orang pendatang asing.

“Bagi tujuan penerimaan wang sebagai upah untuk tertuduh ketiga, langsung tidak pernah dinyatakan mana-mana saksi sepanjang kes pendakwaan.

“Keterangan saksi pendakwaan juga bercanggah antara satu sama lain termasuk saksi utama iaitu SP26 di mana mahkamah mendapati siasatan pegawai penyiasat adalah lemah dan tidak menyeluruh,” katanya.

Rihaida berkata pihak pendakwaan hanya berjaya membuktikan elemen pertama pertuduhan di mana Khairul Azhwa Yusri dan Azmil Muntapha merupakan penjawat awam yang masing-masing berkhidmat di Mahkamah Kuala Kubu Bharu pada ketika itu.

Mahkamah sebelum ini mendengar keterangan 28 saksi pendakwaan pada perbicaraan kes itu.

Ketiga-tiga mereka didakwa secara rasuah menerima suapan wang itu daripada Wong, 42, sebagai upah kepada Azmil Muntapha untuk menjatuhkan hukuman denda sahaja ke atas tujuh pendatang asing yang melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu, antara 9.30 pagi hingga 2.45 petang, 17 Julai 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.- BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram