PERNAH tak korang yang bekerja di luar negara mengalami gangguan aneh di rumah yang disediakan?

Ini pengalaman saya sewaktu bertugas di Australia hampir 10 tahun yang lalu. Ketika itu saya dihantar pihak syarikat untuk menjalani latihan industri. Hanya saya seorang ketika itu. Saya disediakan sebuah rumah banglo yang terletak di sebuah bandar kecil di Melbourne.

Banglo konkrit itu agak lama dan klasik senibinanya. Ia terletak agak jauh daripada rumah-rumah lain. Suasana sekitarnya sunyi sepi.

Ketika itu, saya teruja. Yalah, dapat bertugas ke luar negara buat pertama kali. Memang saya gembira nak cuba kehidupan baru walaupun hanya di sebuah bandar kecil.

Tapi, baru beberapa hari tinggal di banglo itu, saya dah mula rasa lain macam.

Jadual saya yang padat setiap hari dengan menyiapkan tugasan penting di pejabat membuat saya letih. Bila balik ke banglo itu, saya memang dah lesu.

Biasanya selepas balik kerja, saya akan terus mandi dan berbaring di sofa ruang tamu sambil menonton televisyen sekejap sebelum masuk ke bilik tidur.

Suatu malam, saya dah tidur awal sebab terlalu letih. Malam itulah saya bermimpi yang aneh. Dalam mimpi itu saya melihat ada suatu lembaga sedang memerhatikan saya tidur.

Lembaga kelihatan seperti bayangan seorang lelaki tua yang marah. Matanya merenung tajam ke arah saya seolah­-olah tidak berpuas hati. Renungan tajam itu membuatkan saya takut dan terjaga dari tidur.

Masa itu saya dah rasa lain macam, seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena dengan rumah banglo lama itu. Perasaan saya tidak tenteram.

Selang beberapa hari kemudian, pun waktu malam juga ketika saya sedang tidur, tiba-tiba suhu bilik jatuh ke paras yang sangat rendah. Saya terjaga kerana kesejukan sampai menggigil. Tahap sejuk tu sampai saya terbatuk­-batuk dan keluar wap semasa bernafas.

Memang saya pelik mengapa suhu bilik tidur saya terlampau sejuk. Adakah suhu sejuk ini datang dari luar? Mustahil kerana waktu itu bukan musim sejuk.

Saya mula syak ada sesuatu yang tak kena. Kenapa tiba-­tiba saja rasa sejuk sampai tahap berais di dalam bilik tidur saya?

Mata saya memerhati sekeliling. Dari sudut penjuru meja di hujung bilik, saya terlihat suatu lembaga berkabus yang sedang bergerak beralun, perlahan-­lahan melepasi bilik tidur saya.

Saya siap gosok mata berulang kali untuk memastikan saya bukan bermimpi. Apa benda tu?

Saya bangun perlahan­ lahan sambil memeluk tubuh menggigil kesejukan. Saya nampak kabus itu masih bergerak-­gerak, beralun-­alun. Saya beranikan diri mengekori pergerakan lembaga berkabus itu. Tapi sebaik saya membuka pintu utama di hadapan rumah, kabus itu terus hilang.

Apa yang memeranjatkan saya, udara di luar rumah panas tapi mengapa hanya dalam bilik tidur saya suhunya sejuk menggila? Saya periksa suis penghawa dingin, tapi tidak dibuka pun. Jadi, dari mana suhu sejuk itu datang?

Seminggu kemudian, seperti biasa pulang ke rumah saya terus masuk ke bilik tidur. Tapi, malam itu sebelum melelapkan mata, saya terdengar bunyi tapak kaki seperti ada orang sedang berjalan.

TAP! TAP! TAP! Bunyi asing itu datangnya dari arah ruang tamu. Bunyi apa tu? Takkan tikus? Saya dah memang tak sedap hati sejak duduk di rumah itu.

Sedang saya berteka-teki sendirian, bunyi derap tapak kaki itu hilang. Saya bangun menuju ke dapur untuk mengambil air minuman. Semasa berjalan di lorong kecil menuju dapur, langkah saya terhenti.

Saya tergamam melihat ada sesuatu sedang berdiri di hujung lorong sempit itu. Kelibatnya hitam dan besar. Dada saya mula berdebar­-debar. Mujurlah objek itu perlahan-lahan menghilang daripada pandangan saya.

Dalam rasa berdebar itu, saya beranikan diri berjalan ke ruang tamu cuba mencari objek hitam tadi, tapi puas melilau memerhatikan segenap ruang, tidak kelihatan di mana­mana.

Banglo lama itu memang tidak banyak perabot, jadi mudah untuk melihat sekelilingnya. Saya berjalan melihat segenap ruang dalam rumah itu, tapi tiada sesiapa melainkan saya seorang.

Setelah mengalami beberapa peristiwa aneh itu, saya semakin tidak selesa untuk tinggal di situ. Saya tertanya-tanya juga, apa yang pernah berlaku dalam banglo lama ini?

Nak kata mimpi atau halusinasi, tak mungkin sebab saya memang nampak. Saya pasti lembaga besar, hitam berkilat yang saya lihat itu menyerupai seorang lelaki.

Lalu saya biarkan saja kejadian pelik itu berlalu. Tapi beberapa malam kemudian, saya kembali mengalami mimpi ngeri. Ketika itu saya merasakan ada seseorang sedang memerhatikan saya dan jantung saya berdegup kencang sehinggalah saya terjaga daripada tidur.

Sebaik terjaga, perasaan saya kuat menyuruh agar saya menoleh ke bahagian kanan bilik tidur. Tiba­ tiba saya terpandang satu lembaga hitam legam dan besar menyerupai tubuh seorang lelaki, betul-betul berdiri berdekatan kaki katil.

Tubuh saya seakan kaku ketika itu, tidak mampu bergerak, sedangkan lembaga tersebut semakin menghampiri saya. Terlalu takut saya ketika itu sehingga menggigil dan tidak mampu membuka mulut membaca ayat-ayat suci. Hanya dalam hati saya terus berdoa supaya selamat.

Nasib baik ketika itu tiba-­tiba saja terpancar cahaya yang datang dari arah tingkap bilik mandi. Mungkin cahaya daripada kenderaan orang yang memandu melepasi banglo yang saya diami. Sebaik cahaya itu muncul, lembaga hitam itu terus hilang.

Lembaga apa yang saya lihat itu? Hantu?

Ketika itu saya tidak pernah percaya aktiviti paranormal dan beranggapan bahawa hantu hanyalah khayalan imaginasi manusia.

Tetapi apabila saya mengalami perkara aneh begitu sehingga membuat saya ketakutan, saya tidak sanggup lagi menunggu. Esoknya juga saya memohon berpindah ke rumah lain secepat mungkin.

Tak sanggup saya terus duduk lama di banglo itu. Apa makhluk yang menghuni di banglo itu, atau apa kejadian yang pernah berlaku di situ, saya tidak mahu tahu dan tidak berminat hendak ambil tahu tentang benda-benda misteri begitu.

*Diceritakan oleh, Mohd Amir, Kuala Lumpur.

____________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislamFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare