Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Datuk Seri Mohamad Hasan serta Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menyerahkan bendera BN kepada Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (dua dari kanan) pada Majlis Pelancaran Jentera BN di WTC Kuala Lumpur, GAMBAR: Abd Razak Aid

PENULIS  ‘agak kagum’ apabila melihat semangat berkobar-kobar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi yang menolak sebarang kerjasama dengan Bersatu termasuklah dalam Pilihan Raya Negeri  (PRN) Melaka Pada 20 November ini.

Kata beliau, ‘’kita mesti menghormati ketetapan Perhimpunan Agung UMNO bahawa kita jangan dimanipulasikan untuk ditunggangi semula. Maka ketetapan itu mesti dihormati, kita tidak akan pernah bekerjasama bersama Bersatu dalam PRN Melaka. Presiden UMNO Mesti akur suara akar umbi.’’

Penulis percaya Ahmad Zahid masih bertegas mahu UMNO dan Barisan Nasional (BN) bertanding secara solo waima dengan Pas pun UMNO hanya pandang sebelah mata.

Ia memandangkan UMNO begitu yakin mereka boleh kembali memerintah negeri itu dengan alasan ‘’500,000 pengundi Melaka kini menyesali apa yang berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)’’. – Untuk rekod jumlah pengundi Melaka ialah 495,196 orang.

Tidak mengapalah itu keyakinan Ahmad Zahid maklumlah ia berdasarkan kaji selidik yang dijalankan tetapi realitinya PRN Melaka ini akan menyaksikan senario yang berbeza.

Apabila UMNO membuat keputusan menolak Bersatu, ia akan membuka laluan kepada pertembungan tiga penjuru – setakat ini akan melibatkan Bersatu, UMNO dan Pakatan Harapan – dan tidak mustahil boleh mencecah sehingga lima hingga enam penjuru.

Perlu diingatkan selain UMNO, Pas, Bersatu dan PH, beberapa parti kecil juga menyatakan pendirian mereka untuk bertarung di Melaka iaitu Muda, Putra dan kemungkinan sebuah parti yang dianggotai bekas tentera.

Justeru akibat ‘keangkuhan’ UMNO itu akan menyebabkan undi Melayu berpecah dan semua parti Melayu akan berada dalam kedudukan ‘menang sorak kampung tergadai’ – akhirnya yang akan untung ialah Pakatan Harapan.

Sepatutnya sebagai sebuah parti Melayu, Ahmad Zahid mencari jalan bagaimana mahu mengelakkan UMNO, Pas dan Bersatu bertembung sesama sendiri.

Tetapi nampaknya, Ahmad Zahid sudah berpatah arang dan kerat rotan dengan Bersatu. Tiada ruang dibuka kepada perbincangan walaupun Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah menegaskan sedia berunding.

Bagaimanapun Ahmad Zahid jangan ingat dengan ‘keangkuhan’ menolak sebarang kerjasama dengan Bersatu ia akan menguntungkan UMNO, sebaliknya tersilap langkah parti itu sendiri akan menerima akibatnya.

Atas sebab itulah Bersatu tidak terasa tergugat dengan keputusan UMNO malah jauh sekali sukar menerima pendirian tersebut.

Selama ini Bersatu mahu meneruskan kerjasama di Melaka kerana memikirkan supaya tidak berlaku pertandingan tiga penjuru yang akhirnya akan merugikan kesemua parti-parti Melayu.

Namun dendam kesumat politik dengan andaian tidak mahu dipatuk ular yang sama menjadi alasan kepada Ahmad Zahid yang sememangnya sejak awal dilihat ‘mustahil’ mahu bekerjasama dengan Bersatu dalam PRN Melaka.

Sudah pastilah keputusan Ahmad Zahid akan menggembirakan Pakatan Harapan termasuklah parti ‘cikgu’ Ahli Parlimen Bagan Datuk tersebut PKR.

Mereka tentulah tidak perlu bersusah payah kerana UMNO sudah membuat kerja untuk mereka. Tetapi soalnya kuat sangatkah UMNO di Melaka? Adakah parti itu berada dalam kedudukan terbaik untuk kembali berkuasa?

Penulis tidak pasti sumber kaji selidik mana yang Ahmad Zahid menggunakanpakai bagi menggambarkan UMNO akan mencapai kemenangan di Melaka.

Hasil tinjauan dan pertemuan penulis dengan pelbagai pihak di Melaka pada Isnin lalu dan seterusnya di Kuala Lumpur serta meneliti hasil keputusan PRU-14 lalu, laluan UMNO tidaklah semudah disangka apatah lagi diimpikan.

Daripada 13 kerusi DUN enam kerusi dimenangi dengan majoriti tipis iaitu Asahan (275), Lendu (627), Pantai Kundor (772), Rim (536), Merlimau (130) dan Taboh Naning (740).

Satu sumber yang turut membuat tinjauan di Melaka memaklumkan mana-mana kerusi yang dimenangi oleh mana-mana parti dengan majoriti di bawah 1,000 undi- ia tidak boleh lagi dianggap selamat.

Mungkin UMNO akan berhujah bahawa PRU-14 senario berbeza kerana ketika itu adalah isu 1MDB dan SRC yang melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak tetapi dengan hampir pasti akan berlaku tiga penjuru, adakah UMNO yakin majoriti tipis itu tidak tergugat?

Itu belum lagi mengambil kira pertarungan politik dalaman UMNO yang hampir pasti akan berlaku apabila senarai calon diumumkan dan persepsi rakyat Melaka terhadap individu-individu tertentu dalam UMNO sama ada di peringkat pusat mahupun negeri tersebut.

Atas sebab itulah ramai yang berasa aneh dengan ‘rasa bangga’ tidak bertempat Ahmad Zahid yang menolak mentah-mentah kerjasama dengan Bersatu atas nama kehendak akar umbi.

Beberapa sumber memberitahu penulis, dalam kalangan majoriti rakyat Melaka khususnya orang Melayu yang tidak berparti, mereka mahukan ketiga-tiga parti itu bergabung dan mempertahankan Kerajaan Melayu Islam di negeri berkenaan.

Namun UMNO tidak mahu. UMNO hanya memikirkan keuntungan kuasa politik dengan andaian Melaka adalah kubu mereka. Apapun dalam pilihan raya segala-galanya berkemungkinan.

Tambahan pula sudah ada cakap-cakap PRN Melaka kali ini, pengundi bukan lagi akan memilih parti sebaliknya akan berpandukan siapakah individu yang dicalonkan.

Kalau seorang calon itu dilihat tidak menepati selera pengundi, percayalah ‘sekeramat manapun’ parti tersebut pastinya bila umum namapun sudah kalah.

Kesimpulannya, Ahmad Zahid dan UMNO jangan dilihat terlalu angkuh menolak kerjasama dengan Bersatu – kalau dengan DAP, UMNO boleh bertindak berunding pada saat-saat akhir bagi menyelamatkan Kerajaan Negeri Melaka apabila empat ADUN menarik sokongan – kenapakah tiada ruang dibuka untuk mengadakan perbincangan sesama parti Melayu?

Apapun UMNO sudah membuat keputusan dan Bersatu pun ‘tidak akan menyembah’ UMNO untuk bekerjasama. Justeru kepemimpinan UMNO perlu bertanggungjawab jika parti itu gagal kembali berkuasa di Melaka dengan bertanding secara solo dan paling buruk kuasa politik orang Melayu terus melemah di negeri Hang Tuah itu.