Suasana Majlis Pelancaran Jentera BN di PWTC Kuala Lumpur. GAMBAR: Abd Razak Aid

BARISAN Nasional (BN) mengakui telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika menganjurkan Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di ibu negara malam tadi sehingga dikenakan kompaun RM10,000 oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“Sebagai parti yang berpegang dan patuh kepada prinsip undang-undang, maka BN akan membayar kompaun berkenaan,” kata Setiausaha Agungnya Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dalam satu kenyataan hari ini.

Pelancaran majlis tersebut sepatutnya diadakan di Melaka tetapi ditukar lokasi Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur susulan pengumuman KKM baru-baru ini yang melarang sebarang aktiviti perhimpunan berkaitan pilihan raya di negeri tersebut.

Zambry berkata, BN sememangnya menghormati arahan Menteri Kesihatan untuk tidak mengadakan sebarang perhimpunan yang berkaitan dengan pilihan raya.

“Bagaimanapun pada hemat BN, arahan tersebut berkaitan dengan perhimpunan di negeri Melaka,” katanya.

“Pemilihan lokasi di PWTC dibuat memandangkan Kuala Lumpur sudah pun memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara yang membolehkan perhimpunan diadakan dengan kapasiti kehadiran 50 peratus daripada keluasan dewan acara,” katanya.

Jelasnya lagi, kehadiran jemputan dalam majlis pelancaran di dalam Dewan Tun Hussein dan Tun Ismail PWTC semalam telah mengambil kira panduan SOP berkenaan dengan kapasiti.

BERITA BERKAITAN Sah, tiada kerjasama UMNO – Bersatu di PRN Melaka – Ahmad Zahid

“Namun pergerakan di luar dewan yang ramai adalah di luar bidang kawalan pihak penganjur,” katanya.

Kompaun tersebut dikeluarkan pihak Pejabat Kesihatan Kepong dibawah Akta 342 yang melanggar SOP Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi penganjuran majlis sosial, surat kompaun tersebut juga dimuat naik dalam akaun rasmi Facebook KKM malam tadi.

Turut hadir pada majlis tersebut, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan di samping barisan tertinggi parti tersebut.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diadakan susulan tumbangnya kerajaan negeri pimpinan UMNO setelah empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), termasuk dua daripada parti itu, menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal, 16 November. – UtusanTV

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram