PENDAKWAH bebas dan selebriti, Haris Ismail menyumbang lima projektor LCD yang dianggarkan bernilai RM15,000 kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Sri Petaling, Sri Petaling, di sini, hari ini.

Haris atau Pencetus Ummah (PU) Riz, 26, berkata, sumbangan projektor dari LUMOS Malaysia itu adalah untuk kegunaan pelajar tingkatan lima sekolah berkenaan.

“Alhamdulillah, usaha ini dapat juga direalisasikan. Kalau ikutkan sudah lama nak berikan projektor ini, tapi memandangkan sekolah belum dibuka, jadi ia tergendala. Sekarang, pelajar sudah kembali ke sekolah, jadi saya berasakan ini waktu sesuai untuk beri sumbangan.

“Dengan adanya projektor ini, sedikit sebanyak dapat membantu proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah ini terutama pada adik adik yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya kepada URTV.

Sumbangan kecil PU Riz untuk kegunaan pelajar sekolah

PU Riz yang juga guru sementara di sekolah berkenaan, mengakui gembira dan bersyukur dapat melunaskan tanggungjawab itu.

“Selain mengajar di sekolah ini, menjadi satu tanggungjawab juga buat saya untuk membantu sekolah dalam meningkatkan lagi prestasi pelajar menerusi fasiliti yang ada. Jadi, apabila saya mewujudkan perkara ini, saya berasa lega. Sekurang-kurangnya ada juga peninggalan berharga buat saya pada sekolah ini.

“Dalam masa sama, saya turut menghargai bantuan diberikan pihak LUMOS Malaysia kerana bersama-sama dalam merealisasikan perkara ini. Semoga sumbangan kecil ini akan memberi manfaat kepada semua,” ujarnya. 


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram