PENYANYI Azmi Saat mendedahkan isterinya, Nazira Muhammad masih berduka atas pemergian zuriat sulung mereka biarpun sudah sebulan berlalu

Menurut Azmi, sukar untuk isterinya itu hendak melupakan memandangkan mereka menanti 14 tahun untuk dikurniakan cahaya mata.

Namun, dia akui isterinya seorang yang kuat dan sedang perlahan-lahan menerima ketentuan Ilahi dan ujian Allah buat keluarga mereka.

Justeru itu, bersempena dengan ulang tahun kelahiran isterinya, vokalis Caliph Buskers itu memohon agar orang ramai mendoakan mereka kuat untuk mendepani hari mendatang.

“Hari ini (Selasa) hari ulang tahun kelahiran orang yang sangat bermakna dalam hidup saya. Dialah isteri, sahabat, kawan dan nyawa saya.

“Mohon kawan-kawan doakan dia agar sentiasa dirahmati, diberkati, dilimpahkan rezeki yang berkat, sentiasa dalam kebaikan di dunia dan akhirat.

“Kalau sudi, tolonglah hadiahkan kata-kata positif untuknya. Hari ini genap sebulan arwah Afnan lahir. Ternyata, dia masih belum betul-betul boleh melupakan saat-saat indah bersama cahaya mata kami,” tulisnya.

Tambah Azmi, keadaan isterinya kini bertambah baik namun sesekali air mata pasti tumpah kerana terlalu merindui tubuh kecil anak mereka.

“Walaupun keadaannya semakin baik, tapi setiap hari akan ada masa dia menangis kerana rindukan Afnan dan detik-detik indah itu.

“Mudah-mudahan kata-kata positif kalian dapat memberi seribu kekuatan buat dia. Insya-Allah. Selamat ulang tahun kelahiran Nazira Muhammad,” katanya.

Nazira selamat melahirkan cahaya mata sulung mereka pada 27 September lalu, namun tiga hari kemudian, Khairul Afnan disahkan meninggal dunia akibat komplikasi fungsi otak.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram