BAJET 2022 yang bertemakan, “Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera” menyaksikan RM332.1 bilion diperuntukkan – nilai tertinggi berbanding bajet-bajet sebelum ini.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak RM233.5 bilion bagi belanja mengurus, RM75.6 bilion belanja pembangunan dan RM23 bilion di bawah Kumpulan Wang COVID-19.

Katanya, bajet tahun depan yang merupakan bajet mengembang turut memperuntukkan RM2 bilion sebagai simpanan luar jangka.

Ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat petang ini, Tengku Zafrul berkata, bajet kali ini mendokong Tiga Paksi Utama iaitu memperkukuh pemulihan, membina daya tahan dan memacu pembaharuan.

“Matlamat Bajet 2022 kekal dengan tiga Fokus Induk iaitu:

Pertama: Rakyat Yang Sejahtera;

Kedua: Perniagaan Yang Berdaya Tahan; dan

Ketiga: Ekonomi Yang Makmur dan Mampan,” katanya.

Pembentangan Bajet 2022 hari ini menyaksikan kali kedua Tengku Zafrul membentangkan belanjawan negara selepas kali pertama pada tahun lalu.

Baca artikel berkaitan: Bajet 2022 ada faktor Wow, penjawat awam tidak dilupakan

Jelas Tengku Zafrul, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mempengerusikan sebuah jawatankuasa pemantauan yang diselaras oleh Kementerian Kewangan bagi memastikan semua inisiatif Bajet 2022 berjaya mencapai objektif yang disasarkan

“Semua inisiatif yang dibentangkan pada hari ini tidak akan bermakna sekiranya pelaksanaannya tidak sampai kepada ahli Keluarga Malaysia dengan tuntas dan berkesan,” katanya.

Meski pun berdepan cabaran COVID-19, Bajet 2022 yang terbesar dalam sejarah mencakupi semua bertepatan dengan semangat Keluarga Malaysia.

Pelbagai insentif kerajaan diberikan daripada penjawat awam sehinggalah golongan rakyat lain termasuk insiatif Bantuan Keluarga Malaysia (BKM).

Sementara itu, menurut Tengku Zafrul, seperti tahun lalu, Bajet 2022 dirangka dengan mengekalkan tradisi keterbukaan #TeamMOF.

Katanya, bajet ini terhasil dari siri turun padang dan jelajah negeri, perbincangan dengan lebih 30 sesi kumpulan fokus selain mengkaji lebih 1,100 memorandum dan hampir 50,000 cadangan yang diterima melalui portal Bajet 2022.

“Lebih bermakna, Bajet 2022 dirangka setelah 80 sesi sumbang saran bersama ahli-ahli Yang Berhormat merentasi doktrin politik, tak kira Kerajaan mahupun Pembangkang.

“Kita semua telah bermusyawarah, bertukar-tukar pandangan dan sama-sama memikir kemaslahatan negara,” jelasnya.

Justeru pada akhir ucapannya kira-kira dua jam itu, Tengku Zafrul menyeru ahli-ahli Parlimen mendokong belanjawan ini.

Baginya, belanjawan ini sudah ditempa secara bersama yang menjadi perisai buat rakyat dalam mendepani cabaran COVID-19.

“Maka, berpeganglah kita pada ibrah—yang terkandung dalam ayat 32, surah Al-Qalam— setelah segala usaha, berserahlah kita pada Yang Maha Esa, semoga Allah Subhannahu Wa Ta’ala menganugerahkan bagi kita, sesuatu yang lebih baik daripada hari ini.

“Namun, ketahuilah… perjuangan menentang wabak ini belum berakhir. Nasib rakyat masih perih, barisan hadapan kita belum pulang dari perbatasan ke pangkuan keluarga mereka, peperangan masih membara di luar sana.

“Tapi kita sudah hampir di ambang kemenangan, yakinlah, kita dekat sekali. Cukup dekat.

“Justeru, dalam Dewan yang Mulia ini, saya mohon Ahli-ahli Yang Berhormat semua dokonglah belanjawan ini,” katanya.

Keseluruhannya, kata Tengku Zafrul, pertumbuhan ekonomi negara dijangka
berkembang antara 3 hingga 4 peratus bagi tahun ini.

Pada tahun depan, katanya, ekonomi negara diunjur terus berkembang antara
5.5 hingga 6.5 peratus berpaksikan asas ekonomi yang masih kukuh dan
strukturnya yang pelbagai.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram