DI bawah undang-undang Malaysia, kesalahan bukan hanya melibatkan pemberi dan penerima rasuah.

Tetapi kegagalan melaporkan perbuatan rasuah kepada pihak berkuasa juga satu kesalahan.

Ia dinyatakan dengan jelas mengikut Seksyen 25 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Hukuman yang menanti bukan sahaja denda bahkan penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya.

Bagaimanapun, aspek melaporkan jenayah rasuah masih ramai yang tidak sedar termasuk dalam kalangan pegawai kanan awam dan agensi kerajaan.

Justeru, sebagai pengajaran kepada semua, ambillah iktibar daripada apa yang berlaku kepada bekas Naib Presiden Bahagian Perolehan Korporat dan Pemulihan Projek Malaysia Building Society Bhd (MBSB), Norhayati Mohd Daud.

Akibat kegagalannya melaporkan sogokan berjumlah RM3,000 yang diterimanya kepada SPRM, Norhayati, 61, didenda RM22,000 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Malah pihak pendakwaan juga mahu kes Norhayati ini memberi mesej kepada masyarakat supaya melaporkan setiap perbuatan rasuah kepada SPRM kerana badan itu tidak boleh bergerak sendiri.

Norhayati yang dibacakan pertuduhan ke atasnya terus mengaku bersalah terhadap kejadian berkenaan yang berlaku lima tahun lalu.

Hukuman ke atas tertuduh dijatuhkan oleh Hakim, Rozina Ayob.

Sebelum hukuman dibacakan, pendakwaan sempat merakamkan ucapan terima kasih kerana tertuduh yang menyesal di atas kesalahannya telah mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan buat kali pertama.

Mengakui hukuman penjara tidak sesuai kerana merupakan kesalahan pertamanya selain melibatkan nilai sedikit, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin bagaimanapun berkata, mahkamah perlu mengambil kira kedudukan tertuduh.

“Dia telah mengkhianati jawatan tersebut dan hukuman setimpal perlu diberikan kepadanya.

“Hukuman penjara tidak sesuai bagi kesalahan pertama dan ia melibatkan jumlah yang sikit.

“Namun mahkamah perlu beri mesej kepada masyarakat untuk melaporkan apa-apa perbuatan rasuah kepada SPRM kerana SPRM tidak boleh bergerak dengan sendiri,” kata Wan Shaharuddin.

Memetik laporan Bernama, tertuduh didakwa telah diberikan satu suapan wang berjumlah RM3,000 menerusi satu akaun bank miliknya daripada Pengarah Syarikat Residenmas Development Sdn Bhd (RDSB) Mohd Noor Siden, 59, kerana tertuduh mencadangkan kepada Ahli Lembaga Pengarah MBSB untuk meluluskan permohonan menukar jaminan kewangan (financial guarantee) berjumlah RM60 juta kepada bridging loan (pinjaman penyambung) berjumlah RM10 juta kepada syarikat RDSB.

Baca artikel berkaitan: Rasuah penjawat awam membimbangkan – KP SPRM

Oleh itu, bekas Naib Presiden MBSB itu didakwa melanggar peruntukan Akta SPRM 2009 kerana tidak melaporkan kesalahan penyogokan itu kepada pihak SPRM.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di Menara Maybank Jalan Tun Perak di sini, pada 3 Feb 2016, mengikut Seksyen 25 (1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25 (2) akta sama yang boleh dihukum denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun, atau kedua-duanya.

Norhayati yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda tidak melebihi RM10,000 kerana dia menanggung seorang adik dan anak saudara, selain dalam kejadian itu dia telah ditipu oleh Mohd Noor.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram