Nabi larang makan bersandar

Dalam sebuah hadis berkaitan adab makan yang diriwayatkan oleh Abu Juhaifah, Baginda s.a.w. ada yang menyatakan, “Aku tidak makan dalam keadaan bersandar” HR Bukhari

Hadis ini telah diriwayatkan di dalam kitab-kitab hadis seperti Sohih al-Bukhari di dalam Kitab al-Ath’imah (bab makan), juga diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi, Imam Abu Daud, Imam Ibnu Majah dan Imam ad-Darimi di dalam kitab mereka masing-masing pada kitab al-Ath’imah (bab makan) juga.

Di dalam kitab Fath al-Bari Syarh Sohih al-Bukhari, antara sebab hadis ini adalah daripada kisah seorang a’rabi, yang disebut di dalam hadis Abdullah bin Busr berkata,

“Telah dihadiahkan kepada Baginda s.a.w. daging kambing maka Baginda duduk berlutut, seorang a’rabi berkata, “Duduk apakah ini?” Rasul s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya Allah telah menjadikanku seorang hamba yang mulia dan tidak menjadikanku seorang sombong dan pembantah.”

Berkata Ibnu Battol, perlakuan Nabi s.a.w  yang demikian itu adalah kerana tawaduk kepada Allah S.W.T.

Berkaitan hadis ini, terdapat juga hadis yang dikeluarkan oleh Imam Abu Daud yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr bin al-‘Ash r.a. katanya,

“Tidak pernah dilihat Rasul s.a.w. makan dengan bersandar.” Dan masih terdapat lagi riwayat hadis yang menceritakan perihal yang hampir sama.

Kalau hendak bersandar juga, macam mana?

Hukum makan bersandar adalah makruh menurut Imam Malik sebagaimana yang dinukilkan di dalam kitab Fath al-Bari Syarh Sohih al-Bukhari, Tuhfah al-Ahwazi dan ‘aun al-Ma’bud. Juga dibahaskan di dalamnya bahawa ulama salaf berbeza pandangan berkenaan makan bersandar.

Bagi Ibnu al-Qos pula, ia berpandangan, keadaan duduk begitu adalah daripada khususiat nabawiyyah (hanya khusus kepada para Nabi) sahaja. Bagaimanapun Imam al-Baihaqi menyebutkan ia dimakruhkan kerana hal yang demikian adalah daripada perbuatan orang-orang besar yang asalnya diambil dari raja-raja asing.

Namun sekiranya seseorang mempunyai halangan dan tidak boleh makan melainkan dengan bersandar, maka ia tidak dihukumkan makruh.

Bersandar Yang Bagaimana

Dalam mengulas lebih jauh tentang duduk bersandar ketika makan, keadaan bersandar yang bagaimana dilarang oleh Baginda. Dalam hal ini ulama telah berselisih pandangan dalam memberi takrifan berkenaan duduk bersandar sebagaimana yang dituliskan di dalam kitab Fath al-Bari Syarh Sohih al-Bukhari.

Ada yang berpendapat duduk bersandar itu adalah apa sahaja jenis duduk yang mendatangkan kenyamanan ketika makan. Ada pula yang berpendapat ia duduk miring atau condong ke arah sisi kanan atau kirinya. Dan ada yang mengatakan ia adalah duduk bersandar dengan tangan kirinya yang diletakkan di atas lantai.

Manakala al-Khattabi pula mengatakan bahawa, masyarakat awam menganggap duduk bersandar ketika makan adalah duduk yang miring atau condong ke salah satu sisi sahaja. Sedangkan pandangan ini tidak tepat, bahkan duduk bersandar itu adalah dengan cara menyandar pada tempat duduk atau alas yang ada di bawahnya.

Dan makna hadis (riwayat Juhaifah r.a.) ialah Aku (Rasulullah) tidak duduk bersandar pada tempat duduk (atau alas) ketika makan sebagaimana perbuatan orang yang memperbanyakkan makanan dan sesungguhnya Aku (Rasulullah) tidak makan kecuali secukupnya sahaja. Kerana itu aku duduk seperti orang yang hendak bangun.

Kedudukan makan seperti ini sememangnya dilarang kerana ia adalah perbuatan orang-orang yang sombong, rakus dan buruk. Ia turut mendorong kepada banyaknya makan. Hal ini dijelaskan oleh Imam Ibnu Hajar al-Haitami di dalam kitab al-Asyraf al-Wasail ila fahmi asy-Syamail.

Imam Muhammad bin ‘Allan as-Siddiqi turut menyatakan hal yang sama di dalam kitabnya Dalil al-Falihin bahawa ia adalah perbuatan orang-orang yang sombong dan perbuatan seperti ini menghalang turunnya makanan pada laluannya dan menyukarkan (penghadaman).

Demikian juga yang disebutkan oleh Imam Muhammad bin Ismail al-Yamani di dalam kitab Subul al-Salam menyebutkan bahawa ahli perubatan menyatakan hal demikian padanya ada kemudaratan.

Ia tidak boleh menurunkan pada laluan makanan dengan senang dan tidak memudahkannya dengan nyaman, bahkan mungkin ia menyakitkan dan menyukarkan. Wallahu a’lam

____________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislamFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare