Wan Rohimi Wan Daud (dua dari kiri) menyampaikan replika kunci van kepada Penyelaras PPPASN, Siti Musa.

LEMBAGA Tabung Haji mengambil langkah proaktif menyumbang sebuah van kepada anak-anak asnaf di Sabah menerusi program mobiliti TH.

Sumbangan itu diberikan keapda Pertubuhan Pengurusan Rumah Amal Selawat Nabi (PPPASN), Sandakan, Sabah.

Setelah hampir 20 tahun memohon sumbangan kenderaan bagi kegunaan harian, kini PPPASN, Sandakan tidak lagi perlu bersusah payah meminta pertolongan pengangkutan.

Tabung Haji dalam kenyataan memaklumkan Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Wan Rohimi Wan Daud telah hadir menyerahkan replika kunci van tersebut kepada Penyelaras PPPASN, Siti Musa.

“Dengan sumbangan van ini, penghuni Pusat Jagaan PPPASN akan lebih mudah untuk bergerak dan menguruskan hal-hal berkaitan proses pembelajaran serta perubatan anak-anak asnaf berusia antara empat hingga 16 tahun.

“Faktor jarak pusat jagaan yang jauh ke bandar Sandakan sehingga 13 kilometer juga menjadi kekangan kepada mereka sebelum ini kerana terpaksa menyewa kenderaan luar dengan caj yang mahal atau melalui sumbangan individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bersimpati dengan nasib penghuni pusat jagaan ini,” kata Tabung Haji dalam kenyataan hari ini.

Wan Rohimi berkata, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) amat prihatin dengan apa yang dialami oleh segenap rakyat khususnya para asnaf yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19.

Baca artikel berkaitan: Md. Nor Yusof lepas jawatan Pengerusi Tabung Haji

Katanya, antara usaha Tabung Haji menyumbang kepada golongan bersasar yang terjejas menerusi program mobiliti ini perlu dilihat bertepatan dengan konsep Keluarga Malaysia.

“Konsep ini menekankan pemeliharaan kesejahteraan negara dan rakyat mencakupi nilai murni dalam institusi kekeluargaan seperti kasih sayang, toleransi, empati serta pengorbanan lebih-lebih lagi dalam situasi sukar di mana negara masih bergelut dengan impak penularan COVID-19,” jelas beliau.

Melalui Program Mobiliti 2021, TH akan menyumbang 25 buah van penumpang ke rumah-rumah kebajikan terpilih seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak dengan peruntukan sebanyak RM2.5 juta.

TH turut memperuntukan RM18.7 juta bagi melaksanakan program lain seperti Program Ehsan, Ikhtiar dan A’fiat.

Program Mobiliti TH telah dilancarkan pada tahun 2016 yang bertujuan menyumbang van dwi-fungsi yang boleh digunakan oleh masyarakat setempat sebagai van penumpang atau van jenazah.

Sejak diperkenalkan, TH telah menyumbang lebih 56 buah kenderaan pelbagai fungsi kepada masjid-masjid terpilih di seluruh negara yang telah memberi manfaat lebih
daripada 200,000 kariah.

Pada tahun ini, TH memperluaskan penerima sumbangan ini ke rumah dan persatuan kebajikan di seluruh negara seperti rumah anak yatim, rumah orang tua dan rumah untuk orang kurang upaya (OKU) bagi membantu memudahkan mereka bergerak untuk menjalankan aktiviti dan program mereka.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram