MICHAEL Lean Chien Er, 32 tahun atau lebih dikenali dengan nama Kael merupakan pemenang tempat keempat bersama pasangan duetnya Evie dalam program realiti Lagu Cinta Kita musim kedua (LCK2) terbitan TV3. Penyanyi berdarah kacukan Cina dan Siam ini telah melancarkan lagu terbaharunya berjudul Cinta Jatuh.

Cinta Jatuh merupakan hasil kreatif penggubah dan penulis lirik terkenal tanah air iaitu Audi Mok dan Shazee Ishak. Lagu itu menceritakan tentang dua insan yang telah jatuh cinta tanpa disedari, bak kata pepatah “cinta pandangan pertama”! Perasaan cinta itu membuatkan masing-masing mengelamun dan sekaligus boleh membuatkan diri kita berubah.

“Cinta adalah sesuatu yang indah. Namun cinta itu juga boleh menjatuhkan dan membangkitkan seseorang. Pastinya cinta itu adalah pengembaraan yang indah.

“Setelah sekian lama saya tidak merasa jatuh cinta, tetapi berapa minggu sebelum rakaman di jalankan, saya telah suka dan jatuh cinta pada seseorang.

“Jadi, semasa rakaman, saya masukkan sekali elemen perasaan itu ke dalam lagu ini dan diharapkan pendengar dapat merasakan juga apa yang saya rasakan.

“Semasa penggambaran muzik video pula, saya banyak luangkan masa dengan pelakon tambahan untuk dapatkan lebih persefahaman sebelum penggambaran dijalankan. Saya berpuas hati dan gembira dengan lagu serta muzik video ini. Diharapkan juga agar semua pendengar dapat menerima dan memberikan sokongan terhadap lagu ini,” katanya.

Cinta Jatuh juga merupakan runut bunyi kepada drama “Mr. Bibik” yang mula ditayangkan pada 29 Oktober lalu menerusi slot Akasia pada pukul 7.00 malam.

Single itu dilihat amat sesuai dengan drama 20 episod ini kerana ceritanya juga menyentuh tentang percintaan pandang pertama di samping pelakon-pelakon popular antaranya Saharul Ridzwan, Zara Zya, Raja Afiq, Liza Abdullah, Syazuwan Hassan, Dayang Areeda, Balkisyh Semundur Khan dan Wanns Ahmad.

Lagu Cinta Jatuh ini sudah boleh mula didengari di semua pelantar digital kegemaran dan muzik video boleh di tonton di saluran Youtube Alternate Records & Talents.