hukum syirik pakai cincin

Ragam orang sekarang bermacam-macam gayanya, terutama dari segi perhiasan dan aksesori badan. Ada sahaja yang dikenakan pada tubuh bagi tampak lebih menarik. Kononnya supaya tidak ketinggalan zaman. Tidak kurang juga apabila ia dipakai dengan niat untuk menunjuk-nunjuk ataupun untuk menarik perhatian. Dari sebesar-besar barang hinggalah yang sekecil-kecilnya.

Contoh yang paling ketara sekali ialah pemakaian cincin. Bukan sahaja wanita yang gemar memakainya, bahkan lelaki juga tidak kurang hebatnya. Penuh keseluruhan jari dengan batu-batu yang pelbagai warna dan saiz menghiasi tangan. Kononnya setiap batu itu mempunyai kisah dan khasiatnya yang tersendiri.

Dari satu segi, ia tidak salah kerana pemakaian cincin merupakan salah satu dari sekian banyak sunnah baginda s.a.w. yang termasuk dalam kategori sunnah adat, dan bukan sunnah ibadat. Jika ia diamalkan dengan niat mencontohi Baginda, sudah pasti akan beroleh pahala secara berterusan. Namun, ia perlu mengikut etika yang telah digariskan oleh nas dan syarak, supaya sunnah yang ingin diamalkan itu mendapat keredaan Allah.

Cincin Berlambang

Hari ini juga kita dapat melihat pelbagai corak dan lambang turut diletakkan pada cincin selain dari kilauan batu-batu permata. Islam melihat perbuatan ini tidak salah kerana para sahabat juga pernah memakai cincin yang mempunyai lambang atau ukiran asma’ Allah. Bahkan Baginda juga mempunyai cincin yang bertuliskan nama Muhammad Rasulullah.

Kita boleh rujuk dari nas yang menunjukkan Baginda mempunyai cincin berlambang sebagaimana riwayat dari Ibnu Umar r.a. katanya,

“Rasulullah s.a.w. pernah membuat cincin dari perak. Pada awalnya cincin itu ada di tangan beliau. Setelah itu beralih ke tangan Abu Bakar, lalu berpindah ke tangan Umar, dan terakhir dipakai oleh Usman sebelum akhirnya cincin itu terjatuh ke dalam sumur aris. Tulisan cincin itu ialah Muhammad Rasulullah” HR Muslim

Cincin inilah yang digunakan sebagai cop mohor dalam surat-surat Baginda s.a.w. sewaktu hidupnya. Itu tidak mendatangkan masalah. Sebaliknya yang menjadi masalah apabila lambang yang diletakkan itu tidak sesuai dan bertentangan dengan adat, moral, budaya dan agama kita, seperti memakai cincin berlambangkan tengkorak manusia, tengkorak kambing, wanita berbogel dan berbagai lagi. Jelas sekali ini sangat bertentangan dengan syarak dan sunnah.

Rasulullah melarang mengukir cincin dengan namanya untuk mengelakkan sahabat bertawasul dengan cincin tersebut

Bukan itu sahaja, ada juga yang menggunakan cincin-cincin ini sebagai tangkal bertujuan menarik rezeki bertandang, pendinding diri, menambahkan kekuatan, menyihatkan badan dan berbagai lagi kepercayaan karut.

Biasanya mereka menggunakan batu-batu permata yang kononnya diperoleh secara ghaib dari alam jin, melalui pertapaan, atau bahan-bahan dari sumber yang haram seperti taring babi hutan, tulang-belulang atau paruh haiwan dan banyak lagi.

Dalam hal ini hukumnya haram kerana boleh merosakkan akidah. Terdapat juga sesetengah kepercayaan dari masyarakat kononnya, selagi mana cincin terpakai kemas di jari antara pasangan, maka itu hubungan mereka utuh.

Tetapi jika hilang cincin tersebut, maka hubungan mereka akan menjadi renggang dan putus. Kesemua kepercayaan ini jelas termasuk dalam kategori syirik (menyekutukan Allah) kerana hanya Allah yang mampu menentukan nasib seseorang bukan pada cincin tersebut.

Baginda s.a.w. juga pernah melarang para sahabat dari mengukir nama beliau pada cincin, kerana ditakuti para sahabat akan bertawassul dengan cincin tersebut hingga menyekutukan Allah. Dari Anas bin Malik r.a.

“Bahawa Rasulullah s.a.w. pernah membuat cincin dari perak dan mengukirnya dengan tulisan “Muhammad Rasulullah” kemudian beliau bersabda, “sesungguhnya saya telah membuat cincin dari perak dan telah kuukir dengan tulisan “Muhammad Rasulullah” maka janganlah kalian mengukir dengan ukiran seperti itu.” HR Bukhari

Dari hadis ini menjelaskan supaya tidak diukir dengan tulisan nama Baginda kerana ditakuti ia akan disalah guna hingga membawa kepada perkara yang mensyirikkan. Sedangkan mengukir nama Baginda tidak boleh apatah lagi yang secara jelas digunakan sebagai tangkal, maka lagilah haram hukumnya.

Adapun Baginda mengukir namanya pada cincin adalah sebagai cop mohor dan jelas ia membawa manfaat. Tetapi jika ia tidak membawa apa-apa manfaat, seeloknya ia tidak perlu dibuat. Cukuplah hanya sekadar memakai cincin dengan niat mengikut sunnah Baginda s.a.w. Itu lebih memadai dari meletakkan kepercayaan karut pada sebentuk cincin. Wallahu a’lam

________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislamFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare