SEORANG lelaki berusia 30 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes kematian remaja yang juga adik iparnya di Bunut Susu, Pasir Mas, Kelantan.

Suspek yang bekerja sebagai pemotong kelapa sawit itu disyaki telah merogol sebelum membunuh adik iparnya.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, pihaknya telah menerima maklumat berkaitan kematian seorang remaja perempuan berusia 17 tahun pada pukul 6.30 petang, Jumaat lalu.

Menurut beliau, hasil keputusan bedah siasat Pakar Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu mengesahkan mangsa meninggal dunia ekoran ‘asphyxia’ atau lemas.

Katanya, pengesahan awal bedah siasat daripada doktor ke atas tubuh badan mangsa mendapati terdapat kesan luka pada bahagian muka, tengkuk dan kesan koyakan baharu pada kemaluan.

“Susulan daripada keputusan laporan pemeriksaan doktor itu, sepasukan polis daripada bahagian risikan dan operasi Jabatan Siasatan Jenayah (JSN) Pasir Mas dengan kerjasama pasukan D9, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan telah membuat tangkapan ke atas suspek pada pukul 4 petang, Sabtu lalu.

Baca artikel berkaitan: Dadah RM4.2 juta dirampas, suami isteri dalang utama ditahan – JSJN

“Suspek berusia 30 tahun merupakan abang ipar mangsa yang bekerja sebagai pemotong kelapa sawit di Pos Keselamatan Sekolah Kebangsaan Bakong, Pasir Mas,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Shafie berkata, hasil siasatan fizikal ke atas tubuh badan abang ipar itu mendapati terdapat kesan calar pada bahu kiri disyaki berpunca daripada cakaran kuku.

Beliau memaklumkan, suspek telah ditahan reman selama tujuh hari sehingga 6 November ini untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram