MINGGU lalu, kerajaan memohon melucut hak wang tunai lebih RM350,000 milik isteri “Datuk Addy Kana” yang sebelum ini disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Hari ini, Addy Kana atau nama sebenarnya Zaidi Kanapiah pula berdepan saman daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang menuntutnya membayar cukai pendapatan berjumlah RM1.42 juta.

Ahli perniagaan itu yang ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 berkaitan satu sindiket perjudian dalam talian, dibebaskan mahkamah pada April lalu.

Ini setelah panel hakim membenarkan permohonan rayuan habeas corpus Addy Kana.

Menurut laporan BERNAMA, penyataan tuntutan LHDN ke atas Addy Kana yang difailkan 1 Oktober lalu bagi tunggakan cukai selama dua tahun.

Berdasarkan pernyataan tuntutan yang diperoleh menerusi sistem mahkamah (e-filing), Kerajaan Malaysia mendakwa bagi Tahun-tahun Taksiran 2018 dan 2019, defendan iaitu Zaidi, 37, telah ditaksirkan dengan taksiran tambahan masing-masing berjumlah RM380,025.73 dan RM918,079.23.

“Oleh kerana defendan telah gagal membayar keseluruhan cukai pendapatan dalam tempoh 30 hari yang ditetapkan di bawah Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967, kenaikan cukai sebanyak 10 peratus berjumlah RM38,002.57 dan RM91,807.92 telah dikenakan dan ditambahkan ke atas keseluruhan cukai pendapatan yang masih belum dibayar bagi Tahun-tahun Taksiran 2018 dan 2019 (Tambahan) itu,” menurut Kerajaan Malaysia dalam pernyataan tuntutan itu.

Dakwa plaintif, defendan masih gagal membayar kepada plaintif keseluruhan cukai pendapatannya yang masih terhutang dan genap masanya dan kena dibayar bagi Tahun-tahun Taksiran 2018 dan 2019 (Tambahan) termasuk kenaikan-kenaikan yang kesemuanya berjumlah RM1,427,915.45.

“Plaintif berhak untuk mendapatkan kembali jumlah cukai pendapatan yang masih terhutang itu serta kenaikan-kenaikan yang dikenakan ke atas defendan sebagai satu cukai yang genap masanya dan kena dibayar,” menurut plaintif dalam pernyataan tuntutan itu.

Baca artikel berkaitan: Judi online, kerajaan mahu lucut hak wang isteri ‘Datuk Addy Kana’ bernilai lebih RM350,000

Oleh itu, plaintif menuntut defendan membayar RM1,427,915.45, faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh realisasi, kos dan lain-lain relif yang disifatkan sesuai oleh mahkamah.

Menerusi semakan sistem mahkamah, pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 22 November ini untuk memaklumkan mengenai status serahan saman itu.

Pada 28 Oktober lalu, kerajaan memohon untuk melucut hak wang lebih RM500,000 milik ahli perniagaan Alvin Goh Leong Yeong dan isteri kepada Addy Kana, Alyaa Syuhaila Mohamad Shariff serta beberapa buah syarikat mereka yang disita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).- BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram