Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob GAMBAR: Abd Razak Aid

BERITA gembira kepada golongan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak berpencen apabila kerajaan mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM350.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bantuan secara sekali beri itu kepada 1 juta pesara kerajaan seperti diumumkan dalam Bajet 2022 turut melibatkan golongan veteran ATM tidak berpencen.

Kata beliau, ia selaras dengan amalan semasa kerajaan yang prihatin terhadap golongan berkenaan agar turut menerima BKK.

“Inisiaitf ini telah dilaksanakan pada Bajet 2021 di mana sebanyak RM300 telah diberikan kepada kumpulan pesara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ismail Sabri, veteran ATM tidak berpencen yang belum berdaftar disarankan berbuat demikian supaya bantuan tersebut dapat disalurkan.

Ini kerana, Perdana Menteri memaklumkan, Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) menganggarkan sehingga kini terdapat kira-kira 300,000 veteran terdiri daripada golongan berpencen, pencen terbitan dan tidak berpencen.

Baca artikel berkaitan: Bantuan khas: Penjawat awam terima RM700, pesara RM350

Namun begitu, katanya, hanya 82,000 veteran tidak berpencen telah berdaftar dengan JHEV sehingga 30 September lalu.

“Sehubungan itu, veteran ATM tidak berpencen yang belum berdaftar disarankan berbuat demikian supaya BKK dapat disalurkan kepada mereka menjelang Januari 2022,” jelas beliau.

Jumaat lalu, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz semasa pembentangan Bajet 2022 di Dewan Rakyat mengumumkan penjawat awam Gred 56 ke bawah akan menerima BKK sebanyak RM700.

Sementara itu, pesara kerajaan pula bakal menerima RM350.

Menurutnya, pemberian bantuan khas itu melibatkan 1.3 juta penjawat awam dan 1 juta pesara.

Bantuan itu memberi implikasi kewangan sebanyak RM1.3 bilion.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram