Penganjur program walkabout melibatkan kehadiran Datuk Seri Najib Tun Razak dikenakan kompaun RM4,000 manakala Perikatan Nasional (PN) Melaka kena kompaun RM20,000.

PERIKATAN Nasional (PN) Melaka sebagai penganjur perhimpunan yang melibatkan kehadiran Tan Sri Muhyiddin Yassin, hujung minggu lalu telah dikenakan kompaun sebanyak RM20,000.

Pada masa sama, penganjur program yang dihadiri Datuk Seri Najib Tun Razak di Melaka turut dikenakan kompaun bernilai RM4,000.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kenyataan merujuk kepada isu tular dalam media sosial berkenaan kesalahan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) berkaitan aktiviti Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka melibatkan Muhyiddin dan Najib.

Menurut KKM, siasatan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka mendapati tiada aktiviti berbentuk perhimpunan berkaitan PRN Melaka sepanjang tempoh lawatan berbentuk walkabout oleh kedua-dua pemimpin berkenaan.

Namun begitu, KKM memaklumkan, berdasarkan pemantauan dan siasatan dijalankan pegawai diberi kuasa di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), satu kompaun bernilai RM20,000 telah ditawarkan kepada PN Melaka.

KKM berkata, tawaran kompaun tersebut telah dikeluarkan di bawah Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

“Kedua-dua kompaun ini dikeluarkan berikutan kegagalan pihak penganjur memastikan pematuhan penjarakan fizikal oleh orang ramai yang hadir ke program tersebut.

“KKM dan JKN Melaka dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus memantau pematuhan SOP khususnya menjelang PRN Melaka.

Baca artikel berkaitan: Selepas MUDA dan BN, PKR pula dikompaun langgar SOP PRN Melaka

“KKM tidak akan teragak-agak untuk mengeluarkan kompaun kepada mana-mana individu atau pertubuhan perbadanan yang melanggar mana-mana SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) PPN,” katanya dalam kenyataan itu hari ini.

Sebelum ini, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Barisan Nasional (BN) dan PKR turut dikompaun kerana melanggar larangan itu.

BN yang mengadakan majlis pelancaran jentera PRN Melaka di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Khamis lalu telah dikenakan kompaun RM10,000.

Pada masa sama, PKR turut dikenakan kompaun RM10,000 selepas mengadakan program penerangan bergerak walaupun tanpa perhimpunan di Taman Krubong Jaya, Ahad lalu.

Beberapa ahli Muda juga dikenakan kompaun selepas mengadakan sidang akhbar di Melaka, Rabu lalu.

24 Oktober lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya adalah dilarang bermula 25 Oktober hingga 27 November depan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram