SURUHANJAYA Hak Asasi Manusia (Suhakam) digesa untuk berdiri menentang gejala Islamofobia dan sekatan kebebasan bersuara rakyat Malaysia berkaitan pembersihan etnik di Palestin.

Ia selepas laporan pertengahan penggal semakan berkala sejagat (UPR) mengenai kebebasan bersuara Suhakam yang gagal mengetengahkan perkara itu sejak tahun 2018.

Gesaan itu hadir daripada Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr. Hasan Mad dan Pengerusi Bersama Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA), Lukman Sheriff Alias serta Prof. Madya Dr. Rafidah Hanim Mokhtar dalam kenyataan hari ini.

MACSA dan MPM turut menyatakan kekesalan dan kekecewaan terhadap laporan Suhakam mengenai kebebasan bersuara yang sekali lagi gagal mengiktiraf insiden Islamofobia sejak tiga tahun lalu dan sekatan kebebasan bersuara rakyat Malaysia dalam menentang pembersihan etnik di Palestin.

Menurut mereka, mengetepikan insiden kebencian itu sekali lagi mengukuhkan persepsi orang ramai bahawa Suhakam bersikap selektif dan berat sebelah dalam mempromosi hak asasi manusia.

MACSA dan MPM berpandangan ia sekali gus bukan dan tidak akan menjadi tanggapan baik kepada pergerakan hak asasi manusia di Malaysia.

Antara insiden Islamofobia yang ketara sejak 2018, kata MACSA dan MPM adalah pengisytiharan perang kaum diungkapkan seorang menteri apabila dua parti politik Islam iaitu UMNO dan Pas mengumumkan untuk bekerjasama antara satu sama lain.

“Selain itu, promosi buku komik di sekolah vernakular yang hanya melabel orang Melayu Islam membantah penindasan di Uighur sebagai radikal.

Baca artikel berkaitan: Tubuh agensi selamatkan pemilikan ekuiti bumiputera – MPM

“Gambaran buku komik itu bukan sahaja meremehkan pembersihan etnik tetapi jelas bersifat perkauman dalam mencemuh satu kaum sahaja,” katanya dalam kenyataan itu.

Di samping itu, satu lagi insiden yang disentuh MACSA dan MPM adalah kerajaan tunduk kepada Islamofobia terhadap pengenalan sukatan pelajaran jawi.

Menurut MACSA dan MPM, kegagalan Suhakam menyerlahkan insiden kebencian itu bukan sahaja menyebabkan kerajaan tidak akan bertanggungjawab terhadap isu berkenaan, malah menimbulkan dakwaan berat sebelah dan pilih kasih dalam melaporkan pencabulan hak asasi manusia.

Memburukkan lagi keadaan, katanya, adalah kegagalan mengiktiraf sekatan kebebasan bersuara ramai rakyat Malaysia dalam membantah penghapusan etnik di Palestin.

Mereka memaklumkan telah menerima ratusan aduan daripada orang ramai terhadap penyedia platform media sosial yang sewenang-wenangnya menapis dan melarang terbitan kenyataan di laman berkenaan.

“Penyedia platform media sosial ini perlu diambil tindakan atas penapisan sewenang-wenang dan penyalahgunaan kuasa ini.

“Suhakam sepatutnya mengetuai reformasi peraturan penapisan media tersebut yang jelas telah menindas dan menyekat kebebasan rakyat Malaysia untuk bersuara menentang ketidakadilan.

“Lagi pun, protes rakyat adalah menentang penghapusan etnik yang sepatutnya digalakkan dan dipromosikan dengan jelas oleh Suhakam,” jelas mereka lagi.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram