ramalan kaji cuaca syirik?

Seringkali ada yang bertanya, “Adakah perbuatan meramal cuaca itu salah?” Apatah lagi sekarang ini kita sudah pun masuk bulan November yang mana pastinya musim hujan atau tengkujuh telah melanda sesetengah tempat. Oleh itu sudah pasti banyak ramalan cuaca diwar-warkan sebagai peringatan atau pemberitahuan tentang keadaan cuaca pada ketika ini.

Sebenarnya, untuk menjawab soalan ini menurut Pensyarah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Fadlan Mohd Othman kita harus melihat kepada beberapa aspek utama yang menentukan hukum.

Aspek pertama, hendaklah orang yang meramalkan cuaca itu menggunakan petanda-petanda alam yang memang pada kebiasaannya menunjukkan keadaan cuaca. Contohnya ialah keadaan panas di pagi hari pada musim hujan menunjukkan kebiasaannya petang akan turun hujan. Begitu juga dengan pemerhatian terhadap tindak-tanduk sebahagian binatang.

Pergerakan angin dan pengumpulan awan juga merupakan salah satu petanda-petanda alam terhadap hujan. Bahkan, bagi mereka yang mengidap penyakit ‘migrane’, denyutan sebelah kepala di waktu pagi atau tengahari boleh dikira sebagai petanda hujan akan turun sebentar lagi.

Aspek kedua, hendaklah orang yang meramalkan cuaca ini menggunakan ucapan-ucapan yang menunjukkan keagungan Allah. Ilmu meramal tentang sesuatu melalui petanda-petanda hanyalah secebis ilmu yang Allah berikan kepada sebahagian manusia. Firman Allah dalam surah al-Isra’: 85,

Dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit.”

Oleh itu, jika seseorang itu merasakan bahawa hujan akan turun berdasarkan petanda-petanda alam yang tertentu, hendaklah dia menyebut sebagai contoh, “Menurut pemerhatian dan pengalaman saya kepanasan ini merupakan tanda akan turunnya hujan di waktu petang nanti, insya Allah.”

Hendaklah dia kaitkan ramalannya dengan kehendak Allah dan bukannya dengan ilmunya itu. Ini kerana ramalannya hanyalah satu usaha yang sememangnya tertakluk kepada kehendak Allah. Ramalan itu juga bukan merupakan satu perkara yang pasti.

Walaupun wujud petanda, boleh sahaja Allah membatalkan hasil dari petanda itu. Justeru hendaklah dia merendahkan dirinya dan mengaitkan ramalannya dengan kehendak Allah. Firman Allah dalam surah al-Kahfi: 23-24 dengan jelas menyebutkan,

Dan jangan sekali-kali kamu mengatakan tentang sesuatu: Sesungguhnya aku akan mengerjakan ini esok pagi, kecuali (dengan menyebut): “Insya Allah”.

Ayat ini mengajar kita bahawa segala perbuatan dan peristiwa yang dijangkakan pada masa akan datang, perlulah dikaitkan dengan kehendak Allah.

Aspek ketiga, jika ramalan yang dilakukan itu tepat, hendaklah orang yang meramalkan cuaca itu mensyukuri Allah atas nikmat hujan yang dikurniakan atau nikmat ilmu yang Allah berikan. Janganlah sesekali dia bongkak dan menafikan kehebatan Allah kerana jika dia berbuat demikian, dia terdedah kepada azab Allah. Sabda Rasulullah s.a.w.  

“Allah berfirman, “Di pagi ini ada di kalangan hamba-hambaku menjadi mukmin dan ada yang menjadi kafir. Siapa yang sebut, ‘Kami diberi hujan dengan kurnian dan rahmatNya’ maka dia mukmin kepadaKu dan kufur terhadap bintang. Siapa yang sebut, ‘kami diberi hujan dengan kedudukan bintang itu dan bintang itu.’ Maka dia kafir terhadapKu dan mukmin kepada bintang-bintang.” HR Bukhari & Muslim

Janganlah dia sebut seperti Qarun yang dengan bongkaknya hanya mengiktiraf ilmu yang ada pada dirinya dan menyandarkan kejayaannya kepada ilmu itu serta mengingkari kurniaan dan pemberian Allah kepadanya.  

Surah al-Qasas: 78 menyebutkan “

Qarun berkata: “Sesungguhnya aku hanya diberi harta itu, karena ilmu yang ada padaku”. dan Apakah ia tidak mengetahui, bahwasanya Allah sungguh telah membinasakan umat-umat sebelumnya yang lebih kuat daripadanya, dan lebih banyak mengumpulkan harta? dan tidaklah perlu ditanya kepada orang-orang yang berdosa itu, tentang dosa-dosa mereka.”

Aspek keempat, meteorologi atau kaji cuaca yang merupakan pengajian saintifik tentang keadaan atmosfera telah dibangunkan dengan penggunaan pelbagai peralatan canggih dan juga penggunaan kaedah-kaedah ilmu fizik, kimia dan sebagainya. Jika dilihat dari sudut hukum, ramalan meteorologi atau kaji cuaca adalah sama seperti ramalan hukum adat yang menggunakan petanda-petanda alam yang asas, seperti yang dijelaskan dalam asperk pertama sebentar tadi.  

Secara konklusi, sebenarnya perbuatan meramalkan hujan melalui petanda-petanda alam dan menggunakan kajian meteorologi bukanlah merupakan ilmu ghaib. Al-Shaikh Ibn Uthaimin, salah seorang ulama tersohor di Arab Saudi telah menjawab persoalan ini bahawa ilmu ghaib itu ialah yang bersandarkan kepada ilmu semata-mata tanpa sebarang peralatan.

Pastinya ilmu ghaib berbentuk ini hanyalah milik Allah. Adapun penggunaan pelbagai peralatan untuk menentukan kebarangkalian turunnya hujan, maka ini bukan ilmu ghaib. Sebaliknya ini adalah ilmu zahir yang dapat dinilai oleh pancaindera.

Di dalam satu kitab penulisan beliau tentang Usul Fiqh pula, beliau ada menjelaskan bahawa di sana wujudnya hukum adat seperti kepanasan di pagi hari pada musim hujan kebiasaannya menunjukkan hujan akan turun di waktu petang. Ini semua adalah ilmu zahir yang dapat dinilai oleh pancaindera.

Ilmu sebegini bukan lagi dikategorikan dalam ilmu ghaib. Oleh itu ramalan tentang hujan bukanlah sama seperti ramalan nasib atau takdir di masa depan. Maka itu hukumnya harus dan bukannya syirik yang jatuh kepada haram atau berdosa besar. Wallahu a’lam

__________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislamFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare