Berdasarkan laporan CNN Indonesia 31 Oktober lalu, MUI Sulawesi Selatan memutuskan perbuatan mengeksploitasi orang untuk mengemis dan memberi sesuatu kepada pengemis di jalan sebagai haram.

SEBANYAK 10 daripada 15 mukim di Kota Makassar kini sifar pengemis, hanya lima hari selepas Majelis Ulama Indonesia (MUI) Sulawesi Selatan mengeluarkan fatwa mengharamkan pemberian wang kepada pengemis.

Susulan fatwa yang dikeluarkan itu, anggota Unit Polis Perkhidmatan Awam (Satpol PP) Makassar mengadakan operasi sifar untuk membanteras populasi pengemis dan kanak-kanak jalanan.

Ketua Satpol PP Makassar, Iqbal Asnan berkata, operasi sifar hanya dijalankan di 10 mukim dari 15 mukim di Kota Makassar.

Menurutnya, beliau pada awalnya menganggarkan tempoh kira-kira sebulan diperlukan untuk membersihkan kanak-kanak jalanan dan pengemis di 10 mukim di kota berkenaan.

Bagaimanapun, keputusan dengan operasi sifar hanya mengambil masa lima hari sahaja.

“Jadi lima hari ini sudah sifar (pengemis dan kanak-kanak jalanan) termasuk hari Jumaat hingga berlaku peralihan ke mukim lain.

“Operasi sifar ini disasarkan berlangsung dari pagi hingga petang,” katanya sebagaimana lapor CNN Indonesia.

Dengan operasi sifar ini, kata Iqbal, pengemis dan kanak-kanak jalanan terpaksa memikirkan inisiatif lain untuk mengemis di Makassar.

Mereka akhirnya memilih untuk beroperasi di Kabupaten Gowa dan Maros.

“Aktiviti itu kini aktif di daerah Gowa dan Maros, kerana di Makassar mustahil untuk beroperasi.

“Kerana operasi sifar, kami tidak mahu sesiapa di jalanan,” katanya.

Berdasarkan laporan CNN Indonesia 31 Oktober lalu, MUI Sulawesi Selatan memutuskan perbuatan mengeksploitasi orang untuk mengemis dan memberi sesuatu kepada pengemis di jalan sebagai haram.

Keputusan itu termaktub dalam fatwa Nomor 1 Tahun 2021.

“Pertama, dilarang mengeksploitasi orang untuk mengemis. Kedua, bagi pemberi, haram memberi wang kepada pengemis di jalanan dan di tempat awam kerana menyokong mereka yang mengeksploitasi pengemis dan tidak mendidik budi pekerti yang baik,” kata Setiausaha Umum MUI Sulawesi Selatan, KH Muammar Bakri.

Selain itu, kata Muammar, pihaknya turut memutuskan peminta sedekah yang mempunyai fizikal sempurna dan sihat serta malas bekerja adalah haram manakala makruh jika orang berkenaan mengemis di jalanan atau di tempat awam yang boleh membahayakannya.

MUI Sulsel juga mewajibkan kerajaan menyantuni, memelihara dan menyokong pengemis dengan sebaik mungkin.