Tan Sri Idrus Harun.

“YA, kita akan failkan rayuan,” kata Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berhubung kes melibatkan kematian Zulfarhan Osman Zulkarnain empat tahun lalu.

Ini susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan enam penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bersalah di bawah membunuh tanpa niat, bukannya kesalahan membunuh bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Susulan itu, enam mahasiswa berkenaan terlepas hukuman gantung menurut Seksyen 302 sebaliknya dikenakan hukuman penjara 18 tahun.

Dengan ini, Jabatan Peguam Negara akan memfailkan rayuan supaya kesemua tertuduh dikenakan hukuman kerana kesalahan membunuh.

Idrus Harun berkata demikian seperti dilapor Bernama hari ini.

Baca artikel berkaitan: 6 pelajar UPNM didapati bersalah sebab kematian tanpa niat, dipenjara 18 tahun

“Semalam keadilan ditegakkan”, peringatan buat UPNM dan ATM

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumur menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap enam penuntut UPNM selepas didapati bersalah atas pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat Zulfarhan Osman, empat tahun lepas.

Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Keenam-enam tertuduh terselamat daripada hukuman gantung kerana sebelum ini, lima tertuduh itu menghadapi pertuduhan membunuh Zulfarhan Osman di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan, manakala Abdoul Hakeem didakwa bersubahat membunuh mengikut Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman serupa.

Kesemua tertuduh yang kini berumur 25 tahun didakwa melakukan perbuatan itu di dalam bilik 03-05, blok penginapan asrama Jebat universiti itu di Kem Perdana, Sungai Besi antara 2.30 pagi hingga 5.30 pagi, 21 Mei 2017 dan dalam bilik 04-10 antara 4.45 pagi hingga 5.45 pagi, 22 Mei 2017.

Hawa Osman bersama suaminya, Zulkarnain Idros bercakap kepada pemberita selepas hadir mendengar keputusan kes kematian anaknya yang merupakan penuntut UPNM, Zulfarhan Osman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam. GAMBAR: Abd Razak Aid

Mahkamah Tinggi sebelum ini memutuskan bahawa sebanyak 90 tekapan seterika wap yang dilakukan oleh tertuduh itu pada anggota badan Allahyarham Zulfarhan Osman telah menyebabkan kematian mangsa namun ia tidak terjumlah kepada niat membunuh dengan sengaja.

Antara dibangkitkan keterangan pakar forensik bagi pihak pendakwaan dan pembelaan dengan kematian mangsa tidak bersifat mengejut selepas dicederakan.

Hakim itu juga berkata nyawa Zulfarhan Osman mungkin boleh diselamatkan sekiranya terdapat campur tangan oleh seorang doktor sebuah klinik swasta di Bangi semasa mangsa menerima rawatan di klinik tersebut.

Beliau berkata pada kebiasaannya, pihak hospital atau klinik kesihatan akan menelefon polis jika mengesyaki pesakit didera kerana ia adalah isu perundangan perubatan.

“Sepatutnya doktor tersebut tidak membabi buta mempercayai mangsa terlibat dengan letupan dalam latihan sehingga terkena pada semua tubuh mangsa termasuk zakar dan testis namun tidak pada muka si mati,” katanya seperti dilapor Bernama semalam.

Beliau berkata, jika mangsa tidak mengalami cedera parah, beliau tidak perlu dibawa ke klinik sebanyak dua kali memandangkan kosnya adalah mahal iaitu kira-kira RM500 bagi setiap sesi rawatan.

Katanya, tertuduh boleh membawa mangsa ke hospital kerajaan yang percuma atau klinik UPNM namun mereka tidak berbuat demikian kerana bimbang rahsia mereka (cederakan Zulfarhan Osman) pecah.

Azman juga berkata Zulfarhan Osman mungkin boleh diselamatkan jika seorang jurulatih di UPNM tidak bertindak menularkan keadaan Pegawai Kadet Laut UPNM itu di dalam kumpulan WhatsApp.

Zulfarhan Osman meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram