KERAJAAN sedang berusaha menjadikan perbuatan menghendap atau ‘stalking’ sebagai satu kesalahan jenayah di dalam undang-undang di negara ini.
Kertas Dasar berserta cadangan pindaan undang-undang berkaitan dijangka dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada Disember ini sebelum pindaan tersebut dibentangkan di Parlimen untuk kelulusan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, beliau telah mempengerusikan satu mesyuarat berkaitan perkara tersebut di Parlimen semalam bagi membincangkan status kemaskini mengenai usaha tersebut.
Katanya, mesyuarat itu diurusetiakan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri dan dihadiri oleh agensi kerajaan termasuk Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Peguam Negara, Majlis Peguam Malaysia, wakil-wakil dari pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Women’s Aid Organisation (WAO) dan ahli-ahli akademik.
“Dalam mesyuarat ini juga, tiga orang pemandiri menghendap telah berkongsi pengalaman mereka sebagai mangsa yang masih tidak diberikan perlindungan disebabkan jurang yang wujud dalam undang-undang sedia ada.
BERITA BERKAITAN 4 anggota ber’pesta’ ketum, alkohol di balai polis tidak dikenakan tuduhan jenayah
“WAO juga telah menyerahkan memorandum yang telah ditandatangani oleh 52 kumpulan dan petisyen yang disokong lebih 8,500 orang setakat ini, kepada Timbalan Menteri yang menggesa kerajaan segera menjenayahkan menghendap,” katanya dalam kenyataan akhbar.
Mas Ermieyati memaklumkan bahawa usaha untuk menjadikan menghendap sebagai satu jenayah telah bermula sejak tahun 2019 apabila satu Jawatankuasa Anti-Stalking telah ditubuhkan.
“Sejak awal 2020, draf pindaan undang-undang (pindaan kepada Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah) telahpun disediakan oleh Jawatankuasa Anti-Stalking, yang diterajui Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang dengan penglibatan agensi-agensi kerajaan lain dan NGO,” katanya sambil menyatakan beliau yakin ‘Kerajaan memberikan komitmen agar menghendap dijadikan sebagai satu jenayah di Malaysia.’
Beliau berkata, dalam masa yang sama sehingga ia dibentangkan kepada Jemaah Menteri, Mas Ermieyati berhasrat untuk mengadakan pertemuan bersama wakil rakyat, agensi-agensi kerajaan dan NGO berkaitan untuk memberikan gambaran kepada orang ramai dan lebih memahami kesan perbuatan ini kepada masyarakat. – UtusanTV
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram