al-Quran bertentangan mazhab syafi'i

Anas bin Malik menyatakan adalah Rasulullah s.a.w. apabila selesai daripada solat, Baginda menyapu dahinya dengan tangan kanan sambil mengucapkan “Aku naik saksi bahawasanya tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Ya Allah, hilangkanlah daripadaku segala kegundahan dan kedukaan”. HR Tabarani

Semasa bersiaran di Radio Perak di dalam rancangan Soal jawab agama, saya tertarik dengan satu soalan yang diutarakan melalui soalan khidmat pesanan ringkas (SMS). Di sini saya cuba kongsikan sesuatu yang  menjadi persoalan tersirat yang semakin meluas berlaku di dalam masyarakat.

Soalan itu berbunyi – seingat saya – “Apa hukumnya ustaz, saya sebagai isteri beramal dengan Mazhab Syafi’i sedangkan suami saya beramal dengan al-Quran dan al-Sunah. Adakah dikira saya isteri yang derhaka?”

Bila diamati soalan itu, barulah saya fahami dan insafi bahawa aliran menolak mazhab semakin kronik. Malah ia menjadi semakin parah apabila merasa diri terlalu yakin untuk mengistinbat hukum terus daripada al-Quran dan al-hadis tanpa merujuk kepada salah satu daripada mazhab yang empat.

Dalam masa yang sama tidak melengkapkan diri dengan ilmu malah alat yang munasabah serta berpada dengan potongan beberapa minit video-video pendek. Sehingga menjelmakan fenomena merendah-rendahkan pandangan ulama satu-satu mazhab.

Adakah fenomena melafazkan niat ketika hendak memulakan solat seperti mana yang diajar oleh ulama-ulama Mazhab Syafi’i tidak mengikut al-Quran dan al-sunah sebaliknya hanya mengikut Mazhab Syafi’i? Persoalan itu timbul kerana niat yang diajar oleh ulama tidak ada di dalam al-Quran mahupun hadis yang secara langsung mengenainya.

Adakah menyapu muka selepas memberi salam ketika solat dianggap hanyalah beramal dengan Mazhab Syafi’i? Mungkinkah ia membawa maksud tidak beramal dengan al-Quran dan al-sunah kerana tiada dalil langsung mengenainya?

Inilah fenomena penyakit ilmu apabila masyarakat didedahkan dan terdedah dengan hanya menghafal hukum tetapi tidak didedahkan dengan ilmu bagaimana hukum itu dibuat. Bahkan sangat minimum pendedahan tokoh-tokoh imam mazhab yang berstatus mujtahid mutlak ini kepada masyarakat.

Hukum yang biasa difahami oleh orang awam iaitu wajib, sunat, harus, makruh dan haram itu ada tempat ambilannya. Bukan muncul secara tiba-tiba mahupun sengaja direka-reka oleh ulama.

Walaupun al-Quran sumber utama namun pegangan mazhab menyempurnakan dalam melaksanakan ibadah

Sumber ambilan hukum-hukum itu adalah daripada dalil-dalil syarak (al Adillah al Syar’iyyah). Dalil-dalil syarak juga dinamakan sebagai sumber asal hukum yang utama ialah al-Quran dan al-sunah.

Walau bagaimanapun, ada  dalil-dalil atau sumber-sumber sokongan lain yang juga digunakan para ahli fikah (fuqaha’) untuk membuat kesimpulan hukum seperti ijmak, qiyas, istishab, masalih al mursalah (al istislah), isitihsan, qaul sahabi (pendapat sahabat Nabi), ‘uruf, sad az-Zarai’ (menutup jalan yang membawa kepada keburukan) dan syari’at man qablana (syariat umat sebelum kita.

Bagi yang menekuni ulum syariah daripada titik awal dan bukan yang menadah ilmu meloncat terus ke peringkat kesimpulan hukum, sedia memaklumi bahawa imam empat-empat mazhab termasuk Imam Mazhab Syafi’i yang menjadi subjek soalan tadi meletakkan al-Quran dan al-sunah sebagai sumber hukum yang paling utama di samping mereka merujuk juga kepada dalil-dalil syarak atau sumber hukum lain dengan memberi keutamaan yang agak berbeza di antara satu sama lain.

Mazhab Hanafi menjadikan al-Quran dan al-sunah sebagai sumber utama. Selepas itu diikuti dengan ijmak, fatwa sahabat Nabi s.a.w., Qiyas, Istihsan, Adat dan ‘Uruf masyarakat.

Mazhab Maliki juga menjadikan al-Quran dan al-sunah sebagai sumber utama. Ijmak, qiyas,  Masalih al mursalah, amal ahli Madinah dan pendapat sahabat juga dijadikan sumber hukum oleh Imam Malik.

Mazhab Syafi’i turut menjadikan al-Quran dan al-sunah sebagai sumber utama hukum diikuti dengan ijmak dan qiyas.

Mazhab Hanbali juga seperti tiga imam mazhab sebelumnya turut meletakkan al-Quran dan al-hadis sebagai sumber utama hukum di samping Fatwa sahabat, hadis mursal dan qiyas.

Kesimpulannya Imam Mazhab yang empat termasuk Imam Syafi’i telah menjadikan al-Quran dan al-sunah sebagai sumber hukum yang utama maka tidak timbul langsung berlaku pertentangan antara al-Quran dengan mazhab Syafi’i seperti persoalan yang timbul di awal tulisan ini tadi.

Niat dalam al-Quran

Kembali kepada isu melafazkan niat. Qaul (pendapat) yang muktamad dalam Mazhab Syafi’i, sunat melafazkan niat pada semua ibadat. Ia diqiyaskan kepada perbuatan Nabi s.a.w. yang melafazkan niat ketika mengerjakan haji dan umrah.

Daripada Anas: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. mengucapkan Labbaik, aku sengaja mengerjakan umrah dan haji. HR Muslim

Imam Ibnu Hajar al-Haitami mengatakan di dalam kitab Tuhfah bahawa  lafaz ‘usalli’ ini diqiyaskan kepada haji. Maka apabila kita amat-amati ulama-ulama Mazhab Syafi’i tidak memandai-mandai membuat hukum sesuka hati.

Walaupun tiada dalil khusus daripada al-Quran dan al-hadis mengenai hukum berlafaz niat namun mereka menggunakan dalil qiyas. Al-Quran sendiri mengisyaratkan agar kita menggunakan dalil qiyas untuk menyelesaikan masalah.

Allahlah yang menurunkan al-Kitab dengan (membawa) kebenaran dan (menurunkan) mizan.” (Surah as-Syura: 17)

Mizan/timbangan adalah sesuatu yang perkara-perkara ditimbang dengannya dan diqiyaskan dengannya.

“Sebagaimana Kami telah memulai penciptaan pertama begitulah Kami akan mengulanginya.” (Surah al-Anbiya’: 104)

“Dan Allahlah yang mengirimkan angin, lalu angin itu menggerakkan awan, maka Kami halau awan itu ke suatu negeri yang mati lalu Kami hidupkan bumi setelah matinya dengan hujan itu. Demikianlah kebangkitan itu.” (Surah Fatir: 9)

Allah menyerupakan pengulangan penciptaan dengan permulaannya, dan menyerupakan menghidupkan yang mati dengan menghidupkan bumi, ini adalah qiyas.

Apabila benar-benar memahami susur jalur Mazhab Syafi’i membuat kesimpulan hukum maka dapatlah kita fahamilah bahawa tidak berlaku seperti yang didakwa berlaku pertentangan antara al-Quran dengan metodologi  Mazhab Syafi’i.

Begitu juga isu menyapu muka selepas salam. Mazhab Syafi’i mengambil dalil dari hadis riwayat Ibnu Sunni, al Bazzar, Tabarani dan Ibnu A’di:

Anas bin Malik menyatakan adalah Rasulullah s.a.w. apabila selesai daripada solat, Baginda menyapu dahinya dengan tangan kanan sambil mengucapkan,

“Aku naik saksi bahawasanya tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Ya Allah, hilangkanlah daripadaku segala kegundahan dan kedukaan.”

Para imam mazhab yang empat termasuklah Imam Syafi’i adalah orang yang sangat memahami al-Quran bahkan beliau memiliki kemampuan bahasa Arab yang tinggi.

Adalah mustahil menggambarkan kesimpulan-kesimpulan hukum yang dilakukan oleh Imam Syafi’i dan pendukung-pendukung yang mengikuti metodologi pendalilan imam mereka, bertentangan dengan al-Quran. 

Hanya mengetahui hukum tetapi kurang mengetahui cara bagaimana hukum itu dapat disimpulkan daripada dalil-dalil menyebabkan seseorang kurang atau tidak menghormati bahkan memandang serong kepada kemampuan imam-imam mazhab.

Lantaran itu mereka tidak segan silu mengajak orang lain untuk melepaskan diri daripada bermazhab dan berpada dengan ‘berijtihad’ sendiri terus mendapat hukum daripada ayat al-Quran dan al-hadis walaupun tidak mempunyai kelayakan yang munasabah untuk berijtihad. Wallahu a’lam

_____________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislamFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare