KERAJAAN perlu mengambil langkah proaktif segera bagi membina semula simpanan persaraan Keluarga Malaysia khususnya orang Melayu.

Gesaan itu dicetuskan Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim yang berpandangan orang Melayu tidak akan mempunyai simpanan mencukupi menyara kehidupan di penghujung usia sekiranya bantuan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak dijana semula dengan pantas.

Menurut Norshida, kedudukan itu mungkin memaksa mereka bekerja seumur hidup bagi menampung kos kehidupan yang dijangka terus meningkat.

Kata beliau, walaupun bersetuju dengan pelbagai inisiatif dalam Bajet 2022 termasuk melanjutkan kadar caruman berkanun pada paras sembilan peratus, namun ia hanya kelegaan seketika dan masih bukan inisiatif meningkatkan bekalan penyaraan hidup semasa usia tua.

“Wanita UMNO amat prihatin dengan kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP bahawa sebanyak 46 peratus ahli berumur 55 tahun ke bawah hanya mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000.

“Paling membimbangkan adalah nisbah pencarum Melayu mewakili 74 peratus daripada 5.9 juta pencarum yang baki simpanan kurang RM10,000.

“KWSP juga mencatatkan kejatuhan ketara dalam peratusan ahli bagi mencapai simpanan asas daripada 36 peratus kepada 27 peratus susulan pengeluaran dibuat bagi menampung pendapatan semasa yang tidak stabil sepanjang pandemik ini tetapi sebenarnya bekalan simpanan persaraan telah dipakai dan perlu diganti dengan seberapa segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Bajet 2022 pastikan peranan wanita diperkasa – Wanita UMNO

Mengulas lanjut, Norshida berpandangan, kerajaan perlu waspada dengan inisiatif jangka panjang di mana jika tidak diperhalusi dengan baik akan membuatkan terbeban dengan pembiayaan warga emas yang lebih ramai.

Jelas beliau, kemampuan fiskal kerajaan juga akan terganggu kerana terpaksa membiayai golongan warga emas yang juga miskin bandar menjelang tahun 2030.

Katanya, keputusan memperluas had umur bagi insentif, pelepasan cukai sehingga RM4,000 untuk caruman KWSP secara sukarela khususnya kepada pekerja gig dan sektor tidak formal adalah baik tetapi perlu diperkasa dan diselaraskan penjelasan, kefahaman serta didikan.

“Jika tidak, ia tidak akan membawa manfaat besar kepada golongan berkenaan.

“Kerajaan perlu menggerakkan jentera bagi memberi penjelasan sedalam-dalamnya kepada rakyat tentang kepentingan simpanan bekalan masa depan.

“Kita faham bahawa pemulihan mata pencarian perlu diutamakan demi kelangsungan hidup tetapi jangan pula alpa dengan bekalan mereka dan anak-anak di masa depan yang kita tidak tahu apa lagi cabarang mendatang,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram