Pemilik kedai komputer warganegara Bangladesh berusia 30 tahun yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM). GAMBAR: Ihsan JIM

SEORANG pemilik kedai komputer warganegara Bangladesh ditahan kerana disyaki menggunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu yang dikeluarkan secara tidak teratur melalui sindiket ID Hack.

Warga Bangladesh berusia 30 tahun itu ditahan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam satu operasi penguatkuasaan di sebuah kondominimum mewah di ibu negara, Rabu lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya turut menahan isteri suspek yang merupakan warganegara Indonesia berusia 44 tahun.

Menurut Khairul Dzaimee, suspek merupakan pemborong dan penjual barangan komputer di sebuah pusat beli-belah terkemuka di Kuala Lumpur.

Kata beliau, suspek mampu menyewa sebuah kedai dan berjaya meraih keuntungan berlipat ganda dengan hanya menggunakan PLKS palsu ID Hack serta mampu menyewa sebuah kondominium mewah untuk didiami.

“Hasil pemeriksaan dan soal selidik mendapati suspek ini turut menyamar sebagai warganegara Pakistan bagi mengaburi mata pelanggan.

“Suspek dikenali sebagai ‘Ali’ dalam kalangan warganegara Pakistan dan sebagai ‘Munsi Jewel’ oleh warganegara Bangladesh sekitar Kuala Lumpur.

Baca artikel berkaitan: Imigresen tahan 16 wanita warga asing dalam dua serbuan di KL

“Hasil pemeriksaan lanjut telah menemui wang tunai sebanyak RM162,077 dalam kediaman yang dihuni bersama isterinya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Operasi penguatkuasaan itu adalah merupakan siri operasi ‘Op ID Hack’ bagi menghapuskan sepenuhnya saki-baki kumpulan berkenaan yang masih beroperasi.

Pada masa sama, operasi tersebut turut memburu warga asing yang menggunakan PLKS palsu daripada sindiket ID Hack.

Suspek dan isterinya disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 15/63 atau Akta 155.

Kedua-duanya juga ditahan di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 dan di bawah Seksyen 51(3) akta sama.

Mereka akan ditahan di Depoh Tahanan Imigresen Semenyih untuk tindakan lanjut.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram