WALAUPUN menerima bantahan daripada akar umbi, namun kepemimpinan Pakatan Harapan (PH) tetap menaruh kepercayaan kepada Datuk Seri Idris Haron untuk mewakili gabungan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Namun begitu, Idris tidak akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang yang dimenanginya buat dua penggal berturut-turut sebelum ini.

Sebaliknya, bekas Ketua Menteri Melaka itu akan ‘beralih’ ke kerusi DUN Asahan bagi menentang calon Barisan Nasional (BN), Fairul Nizam Roslan yang diumumkan bertanding di kerusi tersebut sebelum ini.

Pada masa sama, seorang lagi ADUN yang menarik sokongan kepada Ketua Menteri Melaka sebelum ini iaitu Datuk Nor Azman Hassan turut bertanding di kerusi milik Parti Amanah Negara (Amanah).

Nor Azman akan mempertahankan kerusi DUN Pantai Kundor yang dimenanginya sebelum ini atas tiket BN dan bakal menentang Tuminah Kadi @ Mohd. Hasim.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan calon PKR dan Amanah bagi mewakili PH memaklumkan, kedua-dua bekas ADUN UMNO itu telah pun menyertai PKR dan Amanah.

Walaupun ada kritikan atas kemasukan kedua-dua pemimpin itu, Anwar menegaskan tindakan mereka ‘melompat’ itu adalah inisiatif pemimpin PH Melaka sendiri untuk berunding.

“Kedua-duanya bertanding atas tiket PH tetapi kerusi Asahan itu diperuntukkan untuk PKR maknanya beliau (Idris) diterima sebagai ahli PKR dan kerusi Pantai Kundor adalah kerusi Amanah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengumumkan calon PKR dan Amanah untuk PRN Melaka, hari ini.

Turut hadir, Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Presiden PKR memaklumkan, gabungan itu turut menampilkan calon termuda berusia 21 tahun dalam PRN Melaka, 20 November ini.

Katanya, calon berkenaan adalah Farzana Hayani Mohd. Nasir yang akan mewakili PH di DUN Sungai Rambai.

“Umumnya kalau kita tengok, banyak calon baharu yang kita tampilkan, kebanyakannya juga kali pertama.

“Keduanya, umur relatifnya adalah lebih muda dan kita gabungkan dengan senior supaya melengkapi,” jelas beliau.

SENARAI CALON PAKATAN HARAPAN (PH) PRN MELAKA:

N01 Kuala Linggi – Julasapiah Kasim
N02 Tanjung Bidara – Zainal Hassan
N03 Ayer Limau – Mazenah Baharuddin
N04 Lendu – Mohamad Asri Ibrahim
N05 Taboh Naning – Zairi Suboh
N06 Rembia – Zamri Pakiri
N07 Gadek – G. Saminathan
N08 Machap Jaya – Law Bing Haw
N09 Durian Tunggal – Mohd. Sofi Wahab
N10 Asahan – Datuk Seri Idris Haron
N11 Sungai Udang – Hasmorni Tamby
N12 Pantai Kundor – Datuk Nor Azman Hassan
N13 Paya Rumput – Datuk Seri Shamsul Iskandar Md. Akin
N14 Klebang – Datuk Gue Teck
N15 Pengkalan Batu – Muhamad Danish Zainudin
N16 Ayer Keroh – Kerk Chee Yee
N17 Bukit Katil – Adly Zahari
N18 Ayer Molek – Mohd. Rafee Ibrahim
N19 Kesidang – Allex Seah Shoo Chin
N20 Kota Laksamana – Low Chee Leong
N21 Duyong – Damian Yeo Shen Li
N22 Bandar Hilir – Leng Chau Yen
N23 Telok Mas – Ashraf Mukhlis Minghat
N24 Bemban – Tey Kok Kiew
N25 Rim – B. Prasanth Kumar
N26 Serkam – Muhammad Khomeini Kamal
N27 Merlimau – Azrin Ab. Majid
N28 Sungai Rambai – Farzana Hayani Mohd. Nasir

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram