PADA zaman moden ini, apa hukuman untuk penjenayah yang anda rasakan paling mengerikan? Gantung? Disuntik bahan beracun? Atau direnjat atas kerusi elektrik sampai mati?

Tahukah anda suatu ketika dahulu, pelbagai hukuman menakutkan dijalankan di seluruh dunia. Tidak kira apa bangsa pun, macam-macam bentuk hukuman yang mereka cipta untuk si penjenayah. Kebanyakannya, penjenayah akan tersiksa fizikal dan mental sebelum menemui maut.

Ini sebahagian diantaranya…

1.Diikat untuk dihurung serangga

Hukuman ini dimulakan oleh pemerintah Parsi purba. Mula-mula pesalah dibogelkan. Kemudian tangan, kaki, kepala dan badan mereka diikat pada sekeping papan atau sebatang kayu. Mereka kemudiannya dibiarkan terapung dalam kolam atau dijemur di bawah terik matahari, dalam keadaan menelentang.

Hukuman ini jadi menakutkan kerana sebelum itu, pesalah telah terlebih dahulu dipaksa meminum susu dan madu dalam kuantiti yang banyak hingga mereka cirit-birit. Susu dan madu juga disapukan pada seluruh badan mereka.

Bau busuk najis yang bertaburan serta aroma madu dan susu ini dengan cepat menarik perhatian serangga seperti semut, lalat, kumbang, tebuan dan lebah. Haiwan-haiwan ini akan menghurung, menggigit serta menyengat tubuh pesalah, selain bertelur di situ.

Hukuman diteruskan dengan pesalah itu diberikan lagi susu dan madu supaya dapat hidup lebih lama dan terus terseksa. Walaupun susu serta madu itu memberikan tenaga, tetapi ia kemudiannya menyebabkan banduan itu cirit-birit, yang seterusnya mengundang lebih banyak lagi serangga. Kematian selalunya berpunca daripada kombinasi kehilangan air dalam badan, kelaparan dan terkejut.

Ahli sejarah Greek, Plutarch dalam tulisannya mengenai biografi Raja Empayar Parsi, Artaxerxes (465-424 SM) mencatatkan, askar Parsi bernama Mithridates yang dihukum sebegini kerana membunuh Cyrus Yang Muda (Putera Darius II) pada 401 SM, telah dibiarkan menderita selama 17 hari sebelum mati.

Hukuman yang hampir serupa turut dilaksanakan di Sepanyol, di mana pesalah-pesalah atau penjenayah disumbat ke dalam tong yang cukup-cukup untuk memuatkan badan mereka.

Kepala pesalah sengaja dibiarkan terjulur pada satu lubang di bahagian atas tong, seterusnya dijemur tengah-tengah panas. Selagi pesalah itu hidup, selagi itulah mereka terpaksa berendam dalam najis mereka sendiri dan dihurung serta disengat serangga.

Di Siberia juga suatu ketika dahulu, seseorang banduan atau pesalah akan dihukum dengan cara yang hampir sama. Mereka diikat dalam keadaan bogel pada sebatang pokok lalu dibiarkan mati kebulur serta digigit nyamuk dan disengat haiwan-haiwan berbisa.

2.Disiat kulit

Hukuman mengerikan ini telah dijalankan oleh pemerintah Assyria (200-600 SM). Musuh dan pembesar-pembesar yang cuba memberontak akan ditangkap lalu kulit mereka akan disiat-siat. Hukuman ini amat menakutkan kerana dilakukan ketika pesalah-pesalah itu masih hidup lagi dan menjerit kesakitan.

Tubuh pesalah tadi yang dipenuhi darah akan ditinggalkan begitu saja manakala kulit mereka dipaku pada dinding sebagai amaran kepada orang lain supaya jangan cuba-cuba untuk menggugat kuasa raja.

Hukuman ini turut dijalankan di Eropah pada Zaman Pertengahan sebagai seksaan kepada pembelot. Di Perancis, pelaksanaannya dijalankan sekitar awal tahun 1700.

Di Britain pula, hukuman menyiat kulit pesalah hidup-hidup dilakukan kepada penceroboh gereja. Pada 1303 misalnya, tiga buah pintu biara Pyx telah dipaku dengan kulit penceroboh yang telah ditangkap kerana memecah masuk serta mencuri barang-barang di dalamnya. Pintu sebuah gereja di Essex, England juga pernah dipaku dengan kulit manusia yang ditangkap kerana menceroboh rumah ibadat tersebut.

3.Keelhauling

Berasal daripada perkataan Belanda iaitu ‘kielhalen keel’. Caranya, apabila kelasi kapal ditangkap kerana membuat kesalahan berat, mereka akan diikat dan kemudian dicampak ke laut sebelum ditarik oleh sebuah bot merentasi kawasan cetek yang banyak batu karang.

Hukuman ini amat mengerikan kerana ketika pesalah dibenam dan diseret, badannya akan melanggar batu-batu karang tajam. Ini menyebabkan mereka mengalami luka-luka yang teruk, selain lemas.

Hukuman ini dijalankan dengan cepat supaya kesannya amat menyakitkan. Jika ditarik secara perlahan, dikhuatiri pesalah akan terselamat. Ini kerana tubuh mereka akan terapung dan dia mati bukan akibat luka dikelar serta ditikam batu karang, tetapi akibat lemas.

Keelhauling dijalankan oleh tentera laut Belanda bermula sekitar 1560 hingga dihapuskan pada 1853. Tentera Laut Diraja British dan ketua kapal-kapal dagang turut melaksanakan hukuman ini bagi membendung kegiatan lanun yang berleluasa ketika itu.

4.Dibuang ke pulau

Apabila kapten atau kelasi kapal membuat kesalahan besar, mereka akan dibuang ke sebuah pulau kecil yang kering kontang, yang tiada apa-apa di situ kecuali pasir.

Bekalan yang diberikan ialah sedikit makanan dan minuman serta sepucuk pistol untuk membolehkan pesalah itu membunuh diri, jika mahu. Lanun-lanun di perairan Eropah sekitar abad ke-17 dan 18, turut melaksanakan hukuman ini, tetapi ke atas rakan mereka yang didapati salah kerana mengkhianat.

Kalaulah hukuman seperti ini masih diamalkan dan dijalankan ke atas penjenayah hari ini…

__________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen