“MAAFKAN kami kerana mengecewakan semua dan percayalah bahawa kami sendiri pun tak mahu keadaan seperti itu.”

Itu kata jaguh lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli selepas menerima keputusan jawatankuasa siasatan dalaman yang merumuskan bahawa beliau dan jurulatih telah tiba lewat di bilik menunggu hingga menyebabkan penyertaannya dalam Sukan Paralimpik Tokyo, Ogos lalu dibatalkan.

Menurut Ziyad, beliau reda dan bertanggungjawab atas apa yang berlaku serta menerima keputusan siasatan berkenaan dengan hati terbuka.

Ziyad malah mahu melupakan episod hitam dalam kerjayanya itu dan menjadikannya sebagai pengajaran pada masa akan datang.

Pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016 itu juga mahu memberi tumpuan kepada sesi latihan kepada persediaan temasya sukan akan datang.

“Keadaan ketika itu agak sukar untuk saya dan jurulatih mempertahankan dakwaan kami tetapi kami mengakui bahawa tanpa kami sedari telah melakukan kesilapan seperti yang didakwa.

“Saya berharap isu ini tidak dispekulasikan dan dibangkitkan oleh mana-mana pihak kerana tiada siapa pun patut dipersalahkan, kalau ada pun kesilapan adalah atas kelemahan diri kami sendiri.

“Insya-Allah keputusan ini sama sekali tidak melemahkan semangat saya dan memberikan motivasi untuk menghasilkan keputusan lebih baik pada masa akan datang,” katanya dalam hantaran video Majlis Sukan Negara (MSN).

Baca artikel berkaitan: ‘Saya yakin tiba tepat 5.55 petang. Itu saja’ – Ziyad

Semalam, jawatankuasa siasatan dalaman yang dilantik bagi merungkai isu melanda Ziyad merumuskan atlet itu dan jurulatihnya tidak dapat membuktikan mereka tiba pada waktu ditetapkan di bilik panggilan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memaklumkan hasil daripada sesi temu bual serta dokumen-dokumen diperoleh jawatankuasa itu mendapati tiada kelibat Ziyad dan jurulatihnya, Mohd. Faizol Harun pada waktu ditetapkan walaupun mereka mendakwa tiba sebelum tamat waktu pendaftaran di Bilik Panggilan Satu, Stadium Olimpik Tokyo.

Ziyad dinafikan sebagai pemenang pingat emas acara lontar peluru lelaki F20 dengan catatan lontaran sejauh 17.94 meter yang juga rekod baharu dunia dalam temasya sukan berprestij di Jepun itu.

Atlet berusia 31 tahun itu diklasifikasikan sebagai ‘did not start’ (DNS) susulan bantahan oleh pasukan Ukraine yang mendakwa Ziyad lewat melapor diri di bilik menunggu sebelum pertandingan berlangsung.

Ekoran itu, atlet Ukraine, Maksym Koval diumum sebagai pemenang pingat emas dengan lontaran 17.34m sekali gus memecahkan rekod dunia milik Ziyad iaitu 17.29m yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram