Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman GAMBAR: Abd Razak Aid

PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mengumumkan untuk tidak akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.

Ia selepas PH mengumumkan dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO iaitu Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan akan mewakili gabungan itu dalam PRN Melaka.

Pada masa sama, Pengasas Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memaklumkan parti itu juga tidak akan mengambil bahagian sama sekali dalam PRN kali ini dan mengambil sikap berkecuali.

Kata beliau, Muda ada mengadakan rundingan dengan PH sejak minggu lalu dan melihat ada sinar positif bahawa akan ada gabungan pembangkang yang bersatu padu.

“Cuma, akhirnya dan malangnya, pimpinan PH mengambil keputusan untuk memilih mencalonkan katak-katak politik yang menyebabkan kejatuhan Kerajaan Negeri Melaka dan mencetuskan PRN di tengah-tengah musim pandemik.

“Muda menolak poltik katak, tidak bermaruah dan tidak berprinsip yang akhirnya menyusahkan rakyat.

“Lebih RM42 juta dibazirkan untuk tujuan perbelanjaan PRN Melaka khususnya di tengah pandemik ini,” katanya dalam video dimuat naik ke akaun Facebooknya.

Baca artikel berkaitan: Idris Haron sah tanding tiket PH, PKR tampil calon 21 tahun

Muda akan letak calon tanding PRN Melaka – Syed Saddiq

Minggu lalu, Syed Saddiq yang juga Presiden Penaja Muda mengumumkan bahawa parti itu akan meletakkan calon untuk bertanding dalam PRN Melaka dan sedang mengadakan rundingan dengan PH berhubung soal pembahagian kerusi.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, pihaknya turut tidak menyangka bahawa kepemimpinan PH lebih mengutamakan pemimpin-pemimpin ‘katak’ daripada rakan pembangkang.

“Sejujurnya kita tak jangka keutamaan diberikan kepada katak-katak ini kerana kalau kita lihat mereka ini melompat bukan disebabkan nilai tetapi politik kuasa.

“Dalam sesi rundingan dengan PH memang banyak dibincangkan bagi memastikan pembangkang berpadu dan itu juga niat Muda tetapi selepas beberapa insiden khususnya untuk terus mencalonkan katak politik ini, kami ambil pendirian untuk tidak bersama,” jelas beliau.

Walaupun menerima bantahan daripada akar umbi, namun kepemimpinan PH tetap menaruh kepercayaan kepada Idris untuk mewakili gabungan itu dalam PRN Melaka.

Namun begitu, Idris tidak akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang yang dimenanginya buat dua penggal berturut-turut sebelum ini.

Sebaliknya, bekas Ketua Menteri Melaka itu akan ‘beralih’ ke kerusi DUN Asahan bagi menentang calon Barisan Nasional (BN), Fairul Nizam Roslan yang diumumkan bertanding di kerusi tersebut sebelum ini.

Pada masa sama, seorang lagi ADUN yang menarik sokongan kepada Ketua Menteri Melaka sebelum ini iaitu Datuk Nor Azman Hassan turut bertanding di kerusi milik Parti Amanah Negara (Amanah).

Nor Azman akan mempertahankan kerusi DUN Pantai Kundor yang dimenanginya sebelum ini atas tiket BN dan bakal menentang Tuminah Kadi @ Mohd. Hasim.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & TelegramFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare