pilihan raya

PENGUNDI bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini diingatkan supaya memilih calon berintegriti tinggi dan menolak sama sekali calon rasuah.

Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) berkata, pengundi di Melaka perlu menilai calon terbaik dalam tempoh kempen mulai Isnin ini.

Menurut MCW, pengundi perlu memilih calon yang petah bercakap dan memahami isu setempat, bukan sekadar bermain dengan emosi sahaja.

MCW turut memohon supaya pengundi memerhatikan pergerakan jentera calon supaya tidak memberi sogokan dan memastikan semuanya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) terkini.

“Pastikan anda benar-benar kenal calon yang bertanding, dari mana asalnya? Apakah sikapnya menepati karisma pemimpin berintegriti? Sejauh manakah mutu perkhidmatan calon tersebut selama ini dan adakah benar-benar layak atau bidan terjun?

“Wakil rakyat terbaik adalah mereka yang sanggup mendengar sendiri aduan dan rintihan rakyat terutama golongan muda serta mampu membawa ke peringkat atasan untuk diselesaikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MCW turut memaklumkan merupakan pemerhati pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan yang ditauliahkan SPR bagi PRN Melaka.

Baca artikel berkaitan: PRN Melaka: BN bertanding solo, tiada kerjasama dengan Pas

“Sekiranya anda melihat perkara yang disyaki menyalahi peraturan berkempen atau undang-undang pilihan raya, sila WhatsApp maklumat itu di talian 0108011472,” jelasnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada hari Sabtu, 20 November ini.

Ia ditetapkan selepas SPR mengadakan mesyuarat khas bagi menetapkan tarikh iaitu dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran DUN pada 4 Oktober lalu.

Penamaan calon pula ditetapkan pada hari Isnin, 8 November manakala hari mengundi awal pada 16 November depan.

DUN Melaka telah dibubarkan 4 Oktober lalu bagi memberi laluan kepada PRN diadakan.

Ia selepas Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam telah membuat pertimbangan dan bersetuju untuk membubarkan DUN susulan nasihat daripada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.

Empat ADUN telah mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepemimpinan Sulaiman iaitu Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Sebelum ini, Kerajaan Melaka pimpinan Barisan Nasional (BN) diwakili 17 ADUN yang terdiri daripada 14 ADUN UMNO, dua (Bersatu) dan satu Bebas manakala pembangkang mempunyai 11 kerusi iaitu tujuh DAP, dua (PKR) dan dua (Amanah).

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & TelegramFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare