MENGAPA orang Asia tampak lebih awet muda – persoalan ini antara yang sering menjadi teka teki ramai orang terutama di negara-negara Barat sejak dahulu lagi.

Persepsi masyarakat Barat, rupa paras orang Asia yang berumur 30-an kadangkala terlihat seperti remaja berumur belasan tahun. Mereka juga selalu beranggapan bahawa raut wajah orang Asia tampak lebih muda meskipun umur sebaya.

Seperti kes seorang wanita kelahiran Hunan, China, bernama Xia Da. Dia merupakan salah seorang seniman ‘manga’, iaitu kartun Jepun yang cukup popular kerana wajah keanak-anakannya. Melihat pada rupa paras dan fizikal, Da nampak seperti remaja berusia 14 tahun dan tiada siapa menyangka umur wanita ini sudah mencecah 35 tahun. Kecomelannya itu membuatkan beliau sangat fenomena terutama dalam cerita kartun dan ‘game’ (permainan video) Jepun.

Ternyata, Da bukan kes yang pertama. Berdasarkan statistik, sebahagian besar penduduk Asia turut memiliki kelebihan serupa sehingga terlihat lebih awet muda daripada usia sebenar. Apakah rahsianya?

Setakat ini, tidak ada satu pun jawapan khusus yang boleh menjelaskan tentang fenomena tersebut. Adapun daripada beberapa pemerhatian teliti, ahli sains percaya kesan keremajaan itu sebahagian besar adalah dipengaruhi oleh kekhasan genetik, khususnya pada fizikal dan bentuk muka.

Orang Barat umumnya memiliki bibir tebal dan mata yang tegas sehingga menampakkan mereka lebih matang daripada usia sebenar. Berbeza dengan kebanyakan orang Asia yang mana mempunyai komponen wajah sedikit unik – mata sayu, bibir tipis, kedudukan tulang pipi yang agak tinggi, dahi rendah dan memiliki lapisan lemak pada bahagian pipi. Kombinasi inilah membuatkan penampilan wanita Asia tampak keanak-anakan.

Beberapa orang pemerhati juga percaya bahawa kehadiran lemak di sekitar muka orang Asia menonjolkan lagi kesan awet muda. Sebagai contoh, ras Asia memiliki banyak lemak di sekitar mulut dan mata seperti kelopak mata. Tumpukan lemak di bahagian tersebut ternyata dapat mengurangkan garis-garis kedutan pada wajah orang Asia.

Sementara orang Barat pula, mereka memiliki lemak yang sedikit di bahagian tersebut sehingga menampakkan garis-garis halus atau kedutan di wajah. Kenampakan garisan dan kedutan pada mata dan sekitar mulut ketika ketawa membuatkan orang Barat nampak tua sebelum usia.

Satu lagi sebab yang memungkinkan terjadinya perbezaan tersebut ialah warna kulit. Dibandingkan orang Barat, kebanyakan ras Asia adalah berkulit kuning langsat dan berwarna coklat atau sawo matang.

Menurut pakar kulit dari Columbia University, Dr. Monica Halem, adalah beruntung bagi mereka yang tidak berkulit putih pucat. Ini kerana, ton kulit sedikit gelap sebenarnya lebih sihat dan lebih muda. Tidak hanya itu, pigmen kulit sebegitu juga terbukti memiliki lebih banyak melanin yang dapat memberi perlindungan daripada kesan selaran matahari.

Cahaya matahari boleh jadi sangat berbahaya kerana terdapat dua jenis sinaran ultraungu (UV) di dalamnya, iaitu UVA (320 to 400nm) dan UVB (290 to 320nm). Terdedah terlalu lama di bawah sinaran ini bukan sahaja akan merosakkan kulit, bahkan boleh menimbulkan pelbagai masalah kulit seperti jeragat dan tanda-tanda penuaan lain.

Menyedari perkara itu, kebanyakan orang Asia tidak suka berjemur. Mereka selagi boleh mengelak berada atau terdedah terlalu lama di bawah sinaran matahari. Justeru, bukanlah satu pemandangan pelik jika melihat gelagat orang Asia berpayung dan berlindung daripada cahaya matahari. Juga bukan suatu yang asing apabila melihat orang Asia memakai atau menggunakan krim pelindung UV. Semua itu dilakukan demi menjaga mengekalkan keremajaan kulit dan ternyata ia bukan perkara sia-sia.

Tapi, lain pula halnya dengan orang Barat. Mereka sangat sukakan cahaya matahari. Pantang ada masa terluang, mereka akan bercuti di tepi pantai dan menghabiskan masa berjemur di bawah matahari. Walaupun menyeronokkan, namun amalan itu telah menimbulkan kesan penuaan di wajah mereka. Selain itu, cuaca sejuk dan persekitaran kering juga antara sebab mengapa kulit orang Barat kelihatan lebih tua.

Kajian yang dibuat oleh Monash University di Melbourne, Australia, mendapati diet ‘mat saleh’ yang gemar memakan makanan diproses seperti daging, kentang goreng, piza, burger dan minuman tinggi laktosa ternyata membawa kepada wajah lebih matang. Berbanding dengan diet Asia yang tipikal, di mana kurang mengambil makanan tersebut di samping mengamalkan makanan dan minuman tradisional dikatakan menjadi penyambung kepada penampilan awet muda.

Justeru, berbanggalah menjadi salah seorang wanita atau lelaki dari Asia.