DALAM hidup kita ini memang ada pasang surutnya. Macam air laut, ada ketika surut, ada masanya pasang. Ada orang suka masa laut pasang, banyak rezeki, tunggu surut banyak yang terlepas. Tapi ada pulak kawan nasihatkan kalau nak kenal kawan terutama yang hendak mencari pasangan hidup, carilah ketika seseorang itu pada zaman surutnya, zaman belum ada apa apa, susah, sebab bila dia senang nanti, maka dia akan hargai kesenangan yang diperolehinya. 

“Macam macam teori yang saya dengar, tetapi secara tidak langsung saya bertamu Zek ketika zaman surutnya. Waktu itu dia baru nak memulakan kehidupan serba mencabar di bandar, dengan kelulusan setakat diploma aja. 

“Tetapi kerana nampak baik, tertib dan merendah diri, saya cepat tertarik dengan perangainya. Tak hairanlah kami berkawan rapat dan 2 tahun kemudian kami berkahwin. Hantaran pun tak seberapa. Kata emak ayah tak mengapa asalkan dia bertanggung jawab kepada keluarga, itu sudah baik.’’ Itu cerita Ellyn dalam E-melnya, dan ketika kami sambung perbualan kemudiannya.

“Berkat doa emak ayah, kami berkahwin dan memang kami bahagia di kurniakan 2 orang anak. Tetapi kerana laut tak selalunya tenang, begitulah kehidupan kami, akhirnya dilanda ombak badai. Rupanya ketika laut pasang pun boleh menghancurkan kehidupan manusia, terutama bila keuntungan dan laba yang diperolehi di luar jangkaan. 

“Manusia cepat hilang pertimbangan, apabila hasil tangkapan tetiba bertambah banyak yang membuatkan seseorang itu lupa daratan. Kesenangan dan kemewahan hidup secara tiba-tiba boleh membuat seseorang itu ingin mengejar lebih banyak kekayaan. Itulah yang terjadi kepada Zek. Semasa susah, hidup kami aman. Bila dah senang dia lupa diri. 

“Zek kerja swasta. Nasib dia baik, dapat tawaran dari syarikat baru yang tawarkan pendapatan lebih tinggi. Dengan jawatan baru dia lupa diri. Kesibukan membuat dia lalai dengan keluarga, sebaliknya sibuk bekerja. Memikirkan itulah cabaran yang dia patut terima dengan tugas baru lebih mencabar. Keluarga di rumah terima seadanya, maklum kerja baru, itulah cabaran tugas baru. Rupa-rupanya lepas setahun ke setahun, perubahan diri menjadi tak keruan. Zek sudah berubah. Dia sibuk melayan nona baru lagi rupawan sepejabatnya. 

“Dipendekkan cerita, kami bercerai, sebab saya tak boleh terima suami yang lebih sayangkan kekasih daripada keluarganya. Saya reda inilah lumrah kehidupan, walaupun saya cuba bertahan selama 3 tahun bersabar dengan kerenah dan perangainya. Ketika itu umur saya baru 34 tahun, anak kedua baru 3 tahun. 

“Saya rasa saya masih muda, dan saya bersyukur emak serta ayah bersama saya menjadi tulang belakang membela saya dengan nasihat dan bimbingan. Namun saya masih tinggal di rumah yang kami baru beli. Nasib sebuah apartmen yang harganya termampu saya bayar. Sebab bila bercerai, bekas suami tak mahu bayar ansuran rumah, nafkah pun dia tak peduli. 

Akhirnya kami bercerai. Saya tak boleh terima suami lebih sayangkan kekasih daripada isteri dan anak-anaknya.

“Ketika menjatuhkan talak, Zek berjanji akan beri nafkah dan benarkan saya terus tinggal di rumah tersebut demi anak-anak. Tetapi biasalah, kalau ibu tunggal tak turun naik tangga mahkamah, pasti janji hanya tinggal janji. Nak bagi nafkah RM500 tapi nak dapat RM300 pun susah, kadang kala RM200 sebulan dua bulan sekali. Ikut suka dia. Lepas kahwin, langsung tak nampak bayang nafkah, sebab itu saya kena panjat tangga mahkamah syariah. 

“Kes tuntut nafkah memang tak pernah berkesudahan, dari usia anak kedua 3 tahun hinggalah 9 tahun, janji bekas suami tak pernah tetap. Lagi sakit telinga Zek ugut kalau saya naik mahkamah lagi, jangan harap sesen nafkah dia akan bagi. Lagi menyakitkan hati dia cari pembeli nak jual apartment yang saya duduk anak beranak, sedangkan selama ini sayalah yang bayar ansuran setiap bulan. Dan rumah itu tercatat sama nama saya. 

“Nak jadikan cerita dalam pada sibuk turun naik mahkamah, sibuk urus persekolahan anak, ramai pulak mamat-mamat entah dari ceruk mana mengekori kita, tetapi rasa benci kepada bekas suami menyebabkan saya langsung tak tertarik pada mereka. Rasa benci saya kepada lelaki macamkan baru semalam saya bercerai.

“Lagi susah dapat nafkah, lagi benci saya kepada mereka. Pada saya semua lelaki sama, nak kahwin tapi tak mahu bertangggung jawab. Mereka seolah-olah merasakan anak-anak macam beban dalam hidup mereka. Bukan tanggung jawab dan amanah Allah. 

“Masa bergerak terlalu pantas. Setelah 6 tahun bercerai, nafkah masih tak selesai, ada saja yang sangkut. Kalau janji nak bayar dah berkali-kali kita dengar, tapi akhirnya habuk pun tak ada. Kes kita ke mahkamah pulak bukan dari bulan ke bulan, tetapi dari tahun ke tahun, terlalu lama. Akhirnya bekas suami buat buat lupa.          

“Walaupun usia menghampiri 40 tahun, perasaan ingin berkahwin lagi memang tak ada dalam kamus hidup saya, sebaliknya rasa benci tak berkesudahan. Bencikan bekas suami yang tak bertanggung jawab dan mahkamah yang tak pernah berlaku adil. Tetapi entah macam mana Allah mengubah segala-galanya. 

“Ada pulak seorang mamat ni duk mengekor saya, duk perhati saya, dan mulalah nak berkenalan. Dia pandai cari kawan, kebetulan rakan sepejabat saya. Ketika itu perasaan benci saya pada lelaki tetap tebal. Saya teka tentu mamat ni laki orang, nak menggatal dengan perempuan lain. Kebencian saya terhadapnya menjadi-jadi. 

“Dua tahun lamanya dia memerhatikan saya, bertanya dengan rakan saya. Akhirnya baru saya tahu dia duda anak 3, dah 3 tahun bercerai, konon cerita isterinya buat hal. Tapi saya langsung tak percaya. Memang itulah perangai lelaki nak burukkan bekas isteri kerana nak pikat wanita lain. Perangai lanun! Penyangak! Penyamun! Bencinya saya tak dapat nak cerita. 

“Tetapi kawan saya ni memang pandai mainkan peranannya. Lama kelamaan si mamat ni, Ewan namanya, sudah berani menghubungi saya. Tetapi saya masih ingat pesan emak, kalau nak kahwin pun tunggu anak besar dulu, susah berbapak tiri kalau anak-anak kecil lagi. Banyak masalah tersembunyi dalam diri anak-anak yang emak tak tahu. Itu pesan ayah pulak. 

Selepas bercerai saya terus tak berminat nak berkahwin lagi.

“Namun kawan saya terus memujuk, berapa lama lagi nak sendirian, sampai bila nak jaga anak-anak, mereka semakin besar dan ada kehidupan sendiri. Jadi apa salahnya kahwin lagi. Kerana itu Ewan sentiasa memujuk saya dan mendakwa dia bersedia menjadi ayah untuk anak-anak saya. Dia sanggup bimbing mereka. 

“Satu yang menarik tentang anak sulung saya, walaupun perempuan dia kata, tak ada siapa boleh ubah nama ayahnya, atau jadi pengganti ayahnya. Terkejut saya dengan ketegasannya. Saya tak fikir ada ayah tiri yang sanggup terima apa lagi dengar kata-kata anak saya ini. Katanya, sebelum nak bimbing anak-anak tiri, bimbing anak-anak sendiri yang ditinggalkan. Tanya apa perasaan mereka. Berdesing juga telinga. 

“Itu pandangannya terhadap lelaki yang nak ganti tempat ayahnya. Tetapi kepada ayahnya sendiri dia bagi peringatan, kalau lebih sayangkan anak-anak tiri, jangan ambil peduli anak-anak sendiri, nanti dah tua jangan menyesal dan terhegeh-hegeh cari anak sendiri.  

“Memang saya tak minat nak kahwin, hajat saya nak besarkan anak-anak. Saya harap biar mereka berjaya dalam pelajaran. Anak-anak pun memang bencikan ayah mereka, tak payah saya hasut. Kalau telefon ayahnya minta duit tak pernah dapat, kalau dapat pun minta RM100 dapat RM30 dah kira bagus, sebab memanjang ayahnya tak berduit. 

“Anak-anak sekarang memang bijak, mereka kata, ayah tak mahu tanggung anak sendiri, lebih suka tanggung 3 orang anak tiri. Sebab itu tak berduit. Lagi sakit hati mereka bila ayah mereka nak pindah ke rumah 2 tingkat, sebab itu tak berduit.

“Anak sulung saya umur baru 15 tahun, tetapi sudah pandai ajar ayahnya kalau tak mahu belikan dia komputer, lap top, telefon dan duit saku, jangan harap dapat telefon mereka. Mereka tak mahu guna telefon saya. Kalau ayahnya nak ajak balik kampung beraya boleh, tapi siapkan baju raya 3 pasang seorang. Kalau ayah tak belikan baju raya, tak payahlah balik kampung. 

Anak saya dan kawan-kawan sebayanya yang jadi mangsa perceraian sering berbincang. Mereka benci dengan ayah yang tidak bertanggung jawab selepas bercerai dan melebihkan isteri baru serta anak-anak tiri.

“Bekas suami tuduh saya hasut anak-anak, tetapi dia mesti ingat dia bercakap dengan anak zaman ini yang melihat kesengsaraan dan kesusahan emak mereka menyediakan makan pakai, duit saku dan pembelajaran mereka. Ayah cuma telefon ajak datang rumah jumpa emak tiri, ajak balik kampung jumpa nenek, untuk apa? Kata mereka emak yang susah payah besarkan mereka, bukan ayah, jadi ayah jangan demand macam-macam! 

“Menurut cerita anak saya lagi, di sekolah mereka pun ada ramai anak-anak mangsa perceraian. Mereka berani bercakap sebab mereka berbincang sesama sendiri. Tak payah emak ajar, mereka dah besar mereka melihat dan tahu siapa yang lebih bertanggung jawab. Jadi ayah jangan salahkan emak kalau mereka tak mahu ikut permintaan ayah. 

“Kata anak saya lagi, ada juga anak-anak mangsa cerai yang malang hidupnya, sudahlah ayah tak tanggung nafkah, emak terpaksa bekerja, berniaga dengan pendapatan tak seberapa. Ini membuatkan mereka semakin membenci ayah masing-masing. Tak perlu emak ajar. Mereka boleh fikir sendiri dan bertindak ikut rasa hati mereka.

“Melihat ketegasan anak-anak saya ini juga membuat saya fikir beberapa kali kalau nak kahwin lagi. Saya takut bakal suami tak boleh terima anak-anak saya. Sebab itu saya tak berminat nak kahwin lagi. Namun apa juga keputusan saya tunggu hingga mereka cukup dewasa. Mungkin juga waktu itu saya hilang nafsu untuk kahwin lagi. Sapa tahu! 

“Sebab itu bila Ewan telefon ajak berbual, keluar makan dan sebagainya, saya tolak dengan baik. Saya kata, saya ada anak-anak untuk dijaga. Saya tak boleh keluar rumah sesuka hati. Untuk tidak mengecewakan, terus terang saya katakan, saya tak berminat berkawan apa lagi berkahwin, saya lebih suka hidup dengan anak-anak. 

“Sebenarnya saya takut kehilangan kasih sayang anak-anak. Saya sudah dengar dan lihat sendiri bagaimana mereka membenci ayah mereka yang kahwin lagi, kerana itu saya tak mahu terima nasib yang sama. 

Saya tak mahu kahwin lagi sebab takut kehilangan kasih sayang anak-anak.

“Bayangkan dalam usia masih remaja, anak sulung saya boleh bercerita tentang kakak kepada kawannya yang sudah berkahwin tak mahu balik ke rumah emak mereka pada Hari Raya semata-mata kerana emaknya sudah kahwin lagi. 

“Ceritanya lagi, dua orang kakak kawannya lebih rela balik beraya ke rumah mentua daripada balik rumah emaknya. Mereka tak selesa balik rumah emak kerana rumah emak sudah penuh dengan keluarga anak-anak serta cucu ayah tiri mereka. 

“Hinggakan kawannya lebih suka beraya ke rumah kawan-kawan daripada duduk di rumah emak. Setelah habis beraya barulah dia balik ke rumah. Kalau emaknya ikut beraya ke kampung ayah tiri, dia lebih rela duduk rumah sendiri. Ini cerita benar dan luahan hati dua orang kawan sekolahnya. Ini yang buat saya tambah gentar kalau kahwin lagi. 

“Saya perhatikan kemungkinan anak-anak saya juga akan ikut jejak yang sama sebab dengan ayah mereka pun hubungan mereka sudah jauh. Kalau ayahnya ajak balik kampung beraya, dia bagi syarat bukan bersama anak-anak tiri ayahnya. Bermakna kalau balik raya dengan ayah, bukan dengan ibu tiri dan anak-anaknya. Siapa ajar? Bukan saya. Tetapi inilah kenyataan yang seorang ayah itu mesti faham jika sudah bercerai. Anak zaman sekarang lebih bijak.   

“Saya perhatikan perceraian bukan sahaja penyeksaan kepada bekas isteri, tetapi lebih teruk lagi kepada anak-anak. Mereka simpan dendam, cuma mereka tidak berani berterus-terang seperti  anak-anak saya. Kerana itu ramai anak-anak yang rosak emosi, jiwa dan perasaan mereka apabila ibu bapa mereka bercerai. Kesimpulannya, dampingi anak-anak supaya mereka berani berterus-terang,’’ itu cerita Ellyn, dia lebih suka anaknya berterus-terang daripada menyimpan dendam yang mungkin boleh merosakkan diri sendiri. 

Oleh: MAIMUNAH YUSOF

————————–

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari 
utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam