NAMA ‘bambangan’ mungkin agak asing bagi pendengaran umum. Namun, bagi masyarakat Sabah, nama itu sudah cukup membuatkan mereka terliur. Mana tidaknya, ia adalah antara makanan yang begitu digemari oleh kebanyakan penduduk tempatan di sana.

Apa itu bambangan?

Bambangan atau nama saintifiknya ‘Mangifera panjang’ merupakan pokok liar, tumbuh di kawasan hutan. Spesies tumbuhan daripada famili Anacardiaceae ini banyak ditemukan di Kepulauan Borneo, terutama Sabah. Di samping itu, ia juga tumbuh di negara-negara jiran seperti Brunei dan Kalimantan.

Awal penemuannya, ia hanya dikenali sebagai pokok liar yang sangat langka. Bagaimanapun, sekitar tahun 1980-an, spesies ini telah berubah statusnya selepas dibudayakan menjadi buah-buahan. Semenjak itu, ramai orang menanam sendiri pokok tersebut untuk tujuan komersial.

Umumnya, buah bambangan berbentuk hampir bulat. Berkulit keras, kasar dan berwarna coklat. Buah ini mempunyai sedikit persamaan dengan buah mangga, terutama daripada segi isinya yang berwarna kuning. Walaupun begitu, tekstur isi bambangan lebih berserat, kasar dan agak masam, sampai terkenyit-kenyit mata apabila anda memakannya.

Pokok bambangan. Isi buahnya kuning seperti buah mangga.

Selain itu, bambangan juga terkenal dengan baunya yang sangat kuat dan menyengat, lebih-lebih lagi apabila buah sudah masak. Sesetengah orang tidak suka dengan bau tersebut. Bagaimanapun, bau kurang menyenangkan itu akan hilang sebaik sahaja ia dijeruk.

Cara untuk menjeruknya juga ringkas dan mudah. Langkah pertama, buang atau kupas kulit bahagian luar buah. Seterusnya, potong isi bambangan mengikut saiz yang diinginkan dan kemudian dicampurkan dengan biji buah yang telah diparut. Selepas itu, gaulkan bersama garam dan lada. Setelah siap, masukkannya ke dalam bekas bertutup dan simpan di dalam peti sejuk agar dapat bertahan lebih lama.

Bambangan biasanya dimakan bersama nasi.

Ada sesetengah orang akan membiarkannya selama seminggu sebelum dimakan. Dan dikatakan, lagi lama disimpan, lagi bertambah sedap rasanya.

Selain itu, buah yang telah dikupas juga seharusnya tidak dicuci kerana ia boleh menyebabkan buah menjadi lebam dan sedikit gelap. Itu ialah petua orang-orang tua yang pakar dalam membuat jeruk bambangan.

Jeruk bambangan merupakan antara makanan tradisional bagi suku kaum Kadazan-Dusun sejak berabad-abad dahulu. Namun seiring peredaran masa, kini makanan unik itu telah menjadi kesukaan bagi majoriti penduduk Sabah.

Bagi orang Sabah, jeruk bambangan ialah pembuka atau pembangkit selera ketika makan. Pantang tercium bau, pasti kecur air liur dibuatnya. Rasa jeruk yang masam-masam, tambah lagi kalau dimakan dengan nasi panas dan ikan masin. Fuh… memang terangkat. Bak kata orang Sabah, “Sedap bah rasanya”.

Buah bambangan juga sebenarnya boleh dimakan segar. Namun tidak ramai melakukan hal tersebut. Adapun yang paling sering dibuat ialah ia dijadikan sebagai penambah rasa dalam masakan seperti sup, selain diproses menjadi jeruk.

Bambangan.

Sebelum ini, umum tidak mengetahui akan kebaikan bambangan. Namun, seorang saintis dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menemukan ekstrak dalam buah bambangan yang diyakini mampu bertindak sebagai anti kanser.

Hasil kajian Profesor Madya Dr. Mohd. Fadzelly Abu Bakar, Ketua Jabatan Teknologi dan Warisan, Fakulti Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan di UTHM ketika itu telah pun diterbitkan ke dalam jurnal antarabangsa, Food and Chemical Teoxicology (FCT), berpangkalan di United Kingdom.

Menurut Profesor Madya Dr. Mohd. Fadzelly, kajian itu telah bermula pada tahun 2005 lagi ketika beliau bertugas sebagai pensyarah di Universiti Malaysia Sabah (UMS). Sepanjang berada di Sabah, beliau tertarik dengan keunikan buah bambangan. Sejak itu, beliau terpanggil untuk meneliti kandungan buah tersebut.

Melalui kajian awal itu, Profesor Madya Dr. Mohd. Fadzelly telah mengekstrak biji buah bambangan dan kemudian didedahkan kepada sel-sel kanser. Selepas beberapa jam berlalu, hasilnya benar-benar menakjubkan. Ternyata ekstrak daripada buah bambangan didapati mampu bertindak sebagai anti kanser.

Justeru, kalau anda datang ke Sabah dan teringin untuk mencuba bambangan –  “kamurang cari jak ditamu-tamu Sabah. Jumpalah juga tu nanti”.

Bukan saja dijadikan pembuka selera, malah khasiat bambangan juga boleh bertindak untuk membunuh sel kanser.

____________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen