“Dulu saya pernah aktif dengan band pertama iaitu The OtaiBoyz tetapi tidak dapat bertahan lama”. Demikian kata Man yang merupakan bekas kumpulan terbabit yang pernah ditubuhkan pada 2007.

Sejak itu, band tersebut tidak pernah lagi aktif apatah lagi ahli kumpulan berkenaan sudah berhijrah ke luar negara.

Namun, demi minat yang membara, Man selaku pemain keyboard cuba menghidupkan kembali kumpulan itu dengan mengubah nama asal band itu kepada D’OtaiBoyz.

“Sebelum ‘hidupkan’ semula band ini, saya sudah bertanya kepada bekas ahli kumpulan dan mereka memberi keizinan untuk saya gunakan nama The OtaiBoyz.

“Saya tukar sedikit nama asal itu kepada D’OtaiBoyz memandangkan vokalis kami juga bernama Boy.

“Dahulu kami tidak mengeluarkan single atau album. Sekadar membawakan lagu ‘cover version’ sewaktu membuat persembahan bersama ahli kumpulan lama,” katanya kepada URTV.

D’OtaiBoyz lancarkan single Permata Ku hari ini, pukul 8 malam

Selain Man dan Boy Botak, D’OtaiBoyz turut dianggotai oleh Nazry selaku pemain gitar utama), Dzoul (gitar kedua), Khai (bass) dan Lee (drum).

Justeru, sebagai pemangkin semangat untuk merancakkan industri muzik, D’OtaiBoyz yang bertapak di Singapura itu akan melancarkan single pertama berjudul Permata Ku pada pukul 8 malam ini.

“Permata Ku mempertaruhkan muzik balada rockestra yang merupakan hasil ciptaan saya sepenuhnya. Insya-Allah, kami juga akan mengeluarkan cakera padat (CD) bagi sesiapa yang berminat mahu membeli.

“Walaupun kami bertapak di Singapura, tetapi salah seorang anggota kami iaitu Dzoul berasal dari Malaysia.

“Ini salah satu usaha untuk memasuki pasaran Malaysia dan akan bersama syarikat rakaman Asia Empire Records untuk merangka lebih banyak idea serta lagu untuk band ini dikenali,” ujarnya.

Menariknya, single Permata Ku sebelum ini pernah dinyanyikan kumpulan Life Petal pada 2014 yang turut dianggotai oleh Man Lee.

“Sebenarnya Permata Ku pernah dinyanyikan kumpulan Life Petal dengan rentak yang berlainan. Jadi, saya rasa saya buat sekali lagi dengan memberikan nafas baharu kepada lagu tersebut.

“Alhamdulilah, walaupun saya tampil dengan D’OtaiBoyz, namun Life Petal masih lagi bergerak bersama saya. Malah, mereka juga ada projek masing-masing.

“Sebagai artis, kita tak boleh duduk dalam satu kumpulan atau sekadar buat muzik sahaja. Kena buat perkara lain sebagai contoh berlakon atau berniaga secara sambilan,” jelasnya.

Selain di saluran Youtube, Permata Ku boleh didengari menerusi platform digital Spotify, Itunes, Joox dan Deezer.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram