ANALISIS

DALAM tempoh seminggu lalu apabila Datuk Ab.Rauf Yusof disebut-sebut akan menjadi calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ramai tidak begitu teruja sangat.

Dengan pelbagai krisis politik yang berlaku dan dikaitkan dengan beliau sehingga Kerajaan UMNO tumbang di Melaka, orang melihat pencalonan Ab.Rauf bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Orang pun tidak peduli bila Ab.Rauf disebut-sebut akan diletakkan di kubu UMNO iaitu DUN Tanjong Bidara, bagaimanapun segala berubah apabila Perikatan Nasional mengumumkan calonnya pada Sabtu lalu.

Pemilihan Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai calon Perikatan Nasional menyebabkan secara tiba-tiba pertarungan di Tanjong Bidara menjadi perhatian ramai.

Pencalonan Ahli Parlimen Masjid Tanah itu untuk mencabar Ab.Rauf menjadi bualan ramai.

Turut bersaing Calon Pakatan Harapan, Zainal Hassan.

Walaupun Ab.Rauf dalam reaksinya menganggap kehadiran Mas Ermieyati bukan cabaran besar tetapi berdasarkan reaksi dalam media-media sosial dan tinjauan yang penulis lakukan di Melaka semalam, ia memberikan isyarat berbeza.

Ia kerana Mas Ermieyati bukan orang asing di situ, sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah, beliau setakat ini dikatakan menunjukkan prestasi cukup memuaskan.

‘’ Orang putih kata excellent jadi kita nak letak dia jadi ADUN pula,’’ kata seorang pengundi Tanjong Bidara ketika dihubungi. Malah penulis difahamkan ramai pengundi DUN tersebut teruja apabila nama Mas Ermieyati dicalonkan.

Ini bukanlah propaganda atau mahu berkempen untuk Ahli Parlimen Masjid Tanah itu, sebaliknya inilah arus yang sedang berlaku di kawasan Parlimen berkenaan.

Di luar Melaka juga, ‘pertarungan’ yang dianggap oleh Ab.Rauf sebagai antara ‘sifu dan anak buah’ itu menjadi tumpuan.

Ab.Rauf sudah tentulah mahu memenangi kerusi tersebut kerana jika beliau tewas di situ, ia sekaligus akan menjejaskan reputasi beliau untuk bertanding dalam PRU-15 dan boleh mengakhiri karier politiknya.

Penulis percaya seperti juga Ab.Rauf, Mas Ermieyati juga sudah pasti ‘’tidak akan menyentuh perkara tidak sepatutnya terhadap lawan’ sepanjang kempen.

Seperti mana kata Ahli Parlimen Masjid Tanah itu,’’Ramai kata kubu kuat BN.Tetapi dalam pertandingan semua orang ada peluang. Dan kita harus guna kebijaksanaan dan paling penting terpulang kepada pengundi sendiri untuk menilai pencapaian saya sebagai Ahli Parlimen dan bagaiman mereka menilai khidmat saya dan apa harapan mereka.’’

Lagipun kalau mengkaji pendekatan politik Perikatan Nasional diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin, tidak pernah pun ‘serangan’ peribadi dijadikan modal untuk meraih sokongan politik, sebaliknya rekod perkhidmatan yang dibentangkan untuk dinilai oleh rakyat.

Ab.Rauf tidak perlu bimbang soal itu, yang perlu beliau bimbangkan ialah ‘ancaman dalaman’ dan ‘luaran’ yang melibatkan bekas-bekas rakannya dalam UMNO dahulu ketika parti itu berkuasa di Melaka. Macam-macam cerita penulis dengar. Sama ada betul atau tidak, kita tunggu sahaja ketika kempen berlangsung

Penulis bersetuju dengan kenyataan Ab.Rauf, persaingan di Tanjong Bidara bukan cabaran besar tetapi beliau perlu faham cabaran besar ialah menguruskan persepsi jika beliau bercita-cita untuk menang.

Dalam soal ini, Mas Ermieyati tidak ada apa-apa persepsi, yang ada kepada beliau ada rekod baik sepanjang menjadi Ahli Parlimen Masjid Tanah sejak dua penggal lalu tidak kira dalam parti manapun beliau sertai.

Penulis percaya pengundi Tanjong Bidara bijak menilai siapa sepatutnya mereka pilih selepas menyaksikan apa yang berlaku sebelum ini sehingga ‘menyeret’ mereka untuk terlibat dalam pilihan raya ketika baru sahaja mahu bangkit selepas ancaman pandemik Covid-19.