DI kilang itu, didakwa ada kes pekerja asing meninggal dunia akibat COVID-19.

Justeru, ada individu yang meminta ‘wang perlindungan’ daripada pemilik kilang kononnya bagi mengelak tindakan agensi penguatkuasaan.

Jumlah yang diminta lelaki berusia 50 tahun itu bukan sedikit, mencecah hampir RM1 juta.

Bagi bayaran pertama, dia disyaki meminta dan menerima wang berjumlah RM840,000 secara tunai dan pindahan dalam talian sejak Julai hingga September lepas.

Suspek kemudian dikatakan meminta wang tambahan berjumlah RM120,000 kononnya untuk diberi kepada penguat kuasa berikutan pemilik kilang itu menggajikan pekerja tanpa permit.

Bagaimanapun memetik laporan Harian Metro, lelaki itu berjaya ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kira-kira jam 5 petang semalam.

Baca artikel berkaitan: Berkali MITRA disebut dalam LKAN, MCW alukan tindakan tegas SPRM

Sehubungan itu, SPRM mendapatkan perintah reman di Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini selama lima hari ke atas suspek yang merupakan seorang pengurus syarikat.

Perintah reman yang bermula hari ini itu dikeluarkan Majistret Mohamed Redza Azhar Rezali.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram