KADAR kos menunaikan ibadah haji dijangka diketahui sebelum awal tahun hadapan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary.

Bagaianapun, beliau tidak menolak kemungkinan kadar itu meningkat, susulan ketetapan daripada kerajaan Arab Saudi yang menaikkan Cukai Nilai Tambah (VAT) sehingga 15 peratus.

“Selain perubahan prosedur operasi standard (SOP) ibadah itu yang dilaksanakan dalam norma baharu akibat penularan pandemik COVID-19, seperti penjarakan fizikal iaitu had kapasiti bilik hotel yang mengehadkan hanya dua orang dalam satu bilik, sudah tentu akan meningkatkan pertambahan kos.

“Namun, kadar sebenar kos haji akan diumumkan selepas mesyuarat kabinet sebelum awal tahun hadapan,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Klinik Rohani, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan peningkatan kos ibadah haji itu sebahagian besarnya berkait rapat dengan SOP yang perlu dipatuhi, seperti penjarakan fizikal seperti had kapasiti bilik hotel dan bas, selain pergerakan jumlah jemaah di dalam Masjidil Haram yang turut dihadkan.

Baca artikel berkaitan: Bakal haji patut sama berkongsi kenaikan kos haji

Dalam pada itu, Ahmad Marzuk berkata, kerajaan juga menyediakan bantuan subsidi kepada individu yang ingin menunaikan haji, yang mana kos sebenar sebelum COVID-19 adalah sebanyak RM24,000.

“Jemaah haji hanya perlu membayar RM9,980 dengan kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM12,920. Insya-Allah, jumlah dan kadar yang mampu untuk para jemaah nanti,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, kadar sebenar akan diketahui tidak lama lagi termasuk senarai nama-nama mereka yang terpilih menunaikan haji.

Jelasnya, kerajaan akan terus mengekalkan subsidi haji, cuma kadar dan jumlah ditetapkan berdasarkan kewangan semasa tabung haji. – BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram